BUCHAREST – Chelsea berjaya mendominasi sepenuhnya permainan walaupun sekadar mencatat kemenangan 1-0 ke atas Atletico Madrid pada aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara di National Arena awal pagi semalam.
Jaringan akrobatik daripada Olivier Giroud dalam minit ke-68 memberi kelebihan buat skuad kendalian Thomas Tuchel itu menjelang aksi timbal balik di Stamford Bridge pada 18 Mac depan.
The Blues layak memenangi aksi itu apabila banyak menyerang pintu gol Atletico selain tidak membenarkan lawan tersebut melakukan sebarang percubaan tepat.
“Kami tahu mereka sudah bersedia untuk bertahan dengan lapan pemain dalam kotak penalti. Jadi, kami cuba memastikan bola sentiasa berada dalam kawasan mereka.
“Kami mahu mendominasi Atletico dalam kawasan mereka. Semua pemain menjalankan tugas dengan baik hingga menyukarkan Atletico melakukan serangan balas pantas seperti kebiasaan,” ujar Tuchel.
Bagaimanapun, bekas pengendali Paris Saint-Germain itu percaya masih banyak kelemahan perlu diperbaiki meskipun belum tewas dalam lapan perlawanan sejak mengambil alih Chelsea.
“Kami diibaratkan sedang belajar menyanyi lagu baharu, ia perlu mengambil sedikit masa untuk serasi. Setakat ini, saya gembira melihat semua pemain sangat dahagakan kemenangan,” katanya. – AGENSI