PUTRAJAYA – Sebanyak 1,346 pencarum aktif terdiri daripada pemandu bas direkodkan berdaftar dan mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setakat semalam.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, jumlah itu daripada keseluruhan 81,331 pencarum aktif yang bekerja sendiri di bawah SKSPS.
Beliau berkata, pemandu bas dan individu bekerja sendiri yang layak diminta segera mendaftar dan mencarum dengan SKSPS bagi memastikan mereka mendapat perlindungan di bawah skim itu.
“Kementerian Sumber Manusia akan menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Kadar Caruman Bagi Pemandu bas) (Pindaan) 2021.
“Dengan penguatkuasaan ini, semua pemandu bas yang bekerja sendiri diwajibkan untuk mendaftar dan mencarum dengan SKSPS Perkeso,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Saravanan berkata, jika gagal berbuat demikian, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Katanya, sehingga kini, sebanyak RM2.35 juta faedah SKSPS telah dibayar kepada orang bekerja sendiri termasuk orang tanggungan mereka apabila pencarum mengalami kemalangan atau meninggal dunia akibat bencana pekerjaan.
Perkeso telah menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) yang memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri mulai 1 Jun 2017. – K! ONLINE