KETUA jurulatih baharu Perak FC, Chong Yee Fatt bersedia menyahut cabaran untuk membantu skuad The Bos Gaurus memberi saingan kompetitif pada Liga Super yang akan bermula secara rasmi pada 5 Mac depan.
Sebagai rekod, Yee Fatt menjadi pilihan pengurusan skuad The Bos Gaurus bagi menggantikan posisi pengendali import, Mehmet Durakovic yang meletakkan jawatan secara rasmi kelmarin.
Kata Yee Fatt, tanggungjawab serta harapan yang diberikan oleh pihak pengurusan untuk mengendalikan pasukan Perak musim ini sangat besar tetapi optimis anak-anak buahnya mampu memberikan yang terbaik.
“Sudah menjadi kebanggaan buat saya sebagai anak jati untuk bergelar ketua jurulatih pasukan Perak dan saya sahut cabaran serta tanggungjawab ini meskipun masa yang diberikan agak singkat.
“Namun, saya percaya dengan kualiti yang dimiliki oleh pasukan Perak kerana kami masih memiliki ramai pemain berkaliber yang boleh memberikan cabaran khususnya pada saingan liga nanti.
“Justeru, saya harap barisan pemain perlu bekerja keras kerana kita hanya memiliki tempoh kurang dua minggu sebelum aksi sepak mula,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mengulas lanjut, Yee Fatt mahu mengucapkan terima kasih kepada pasukan Kuala Lumpur United FC (KLUFC) yang sudi melepaskan saya untuk bersama Perak selain Mehmet atas cadangan nama yang diberikan.
“Saya sepatutnya bertugas sebagai Pengarah Teknikal KLUFC musim ini tetapi apabila mendapat tawaran menjadi ketua jurulatih Perak, sudah tentu peluang itu sukar ditolak dan saya ucapkan terima kasih kepada pengurusan KLUFC kerana memahami situasi ini.
“Mehmet adalah sahabat saya di luar padang dan saya terharu apabila dia mencadangkan nama saya kepada pengurusan Perak untuk menggantikan posisi beliau,” katanya.