IPOH – Rakaman video seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menatap wajah arwah ayahnya buat kali terakhir sebelum menduduki peperiksaan Sejarah kertas dua yang tular hari ini mengundang sebak dan meruntun hati netizen.
Muhamad Haikal Iskandar, calon SPM dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru Kuala Kangsar dilihat menangis menatap jenazah bapanya yang tiba di pekarangan dewan peperiksaan sebelum menduduki SPM.
Situasi itu dikongsi pengguna Facebook Badariah Mohd. Mohaidin yang juga kaunselor sekolah terbabit yang kemudian dikongsi pengguna Facebook lain.
“Menghampiri pukul 10 pagi untuk peperiksaan Sejarah K2. Van jenazah singgah ke sekolah. Seorang ayah yang sudah tidak bernyawa dibawa berjumpa anak buat kali terakhir.
“Semoga Allah memberikan kekuatan kepada Muhammad Haikal Iskandar untuk menjawab SPM (SMK Simpang Beluru),” kongsi Badariah dalam hantarannya.
Sehingga pukul 7 malam, hantaran itu sudah dikongsi lebih 2,000 pengguna, ditonton lebih 35,000 dan mendapat sebanyak 1,500 tanda suka.
Video berdurasi selama 58 saat yang berlatar belakang lagu Salam Terakhir nyanyian Allahyarham Sudirman itu sememangnya mengundang sebak netizen.
Selain video, beberapa keping gambar Muhammad Haikal yang kelihatan sedang mengesat air mata dan ditenangkan guru sekolah berkenaan.
Gambar dan video berkenaan turut dikongsi beberapa portal media dan pengguna Facebook.
Rata-rata pengguna turut berdukacita dan mengucapkan takziah kepada Muhammad Haikal serta mendoakan pelajar terbabit diberikan ketabahan serta mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM yang sedang dihadapinya.-K!ONLINE