JOHOR BAHRU – Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ‘belanja’ peminat setia JDT dengan menanggung sebahagian harga jersi kedua (away) berwarna Putih yang mula dijual secara rasmi esok.
JDT dalam satu kenyataan berkata, ini adalah sebagai tanda penghargaan atas sokongan tidak berbelah bahagi penyokong.
Katanya, jersi edisi pemain yang dijual buat pertama kali itu akan dijual pada harga RM185, sama harga dengan jersi pertama (home).
“Jersi ‘Away’ dipilih sebagai hadiah istimewa kerana warna jersi itu melambangkan Stadium Sultan Ibrahim bersempena ulang tahun pertama stadium itu.
“Harga sebenar jersi ‘Away’ ini adalah RM429 tetapi akan dijual pada harga RM185, sama dengan harga jersi ‘Home’. Tunku Ismail akan menanggung lebihan kos jualan jersi ‘Away’ yang dijual,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jersi JDT berjenama Nike bagi musim 2021 ini akan mula dijual di JDT Online Store dan Penjual Rasmi bermula pukul 11 pagi esok.
Jersi ‘Away’ ini akan dijual secara eksklusif di http://store.johorsoutherntigers.com.my manakala jersi ‘Home’ pula akan dijual di Nike.com dan juga JDT.
Terdahulu, Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers memuat naik video pengenalan Jersi JDT bagi musim ini kira-kira lima jam yang lalu.
Video berdurasi tiga minit enam saat itu mencatatkan 200,000 tontonan dan dikongsi lebih 4,700 kali.-K! ONLINE