fbpx

Tiga bot pukat tunda tangkap ikan di zon larangan ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah satu daripada tiga bot nelayan Kelas B yang ditahan APMM Perak tengah malam semalam.

LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan tiga bot yang melakukan aktiviti perikanan menggunakan pukat tunda di kawasan pesisiran pantai dekat Sungai Burung, Bagan Datuk, tengah malam semalam.

Pengarah APMM Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, ketiga-tiga bot itu dikesan di kedudukan 3.3 batu nautika hingga 4.2 batu nautika barat laut Sungai Burung, yang dikategorikan sebagai Zon A perikanan pada pukul 12.10 tengah malam.

“Bot Penggalang 13 yang sedang melaksanakan Op Pintas telah mengesan tiga bot mencurigakan pada waktu berkenaan di sekitar perairan Sungai Burung,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Shahrizan, hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga bot tersebut adalah bot Kelas B iaitu untuk perikanan laut dalam, yang dikendalikan oleh dua kru bagi setiap bot dan disyaki menggunakan pukat tunda di kawasan terlarang Zon A serta tidak mematuhi syarat sah lesen.

Katanya, kesemua enam kru warga Indonesia termasuk tekong berumur lingkungan 27 hingga 40 tahun itu, diiring ke Pusat Tahanan Vesel Kampung Bharu Sitiawan dekat sini bagi siasatan dan tindakan lanjut.

Jelasnya, jika disabit kesalahan, mereka boleh didakwa di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8(B) iaitu melanggar syarat sah lesen.

Shahrizan menegaskan, penahanan itu membuktikan bahawa APMM sentiasa bersiap siaga dalam menguatkuasakan undang-undang bagi membendung kegiatan jenayah di laut meskipun negara khususnya di Perak masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam menguatkuasakan undang-undang dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Pengusaha atau pemilik bot hendaklah mematuhi undang-undang demi memastikan kesejahteraan perairan Negara,” tegasnya lagi.

Beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi APMM Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI