SUATU ketika dahulu, sekitar sengkang 15 tahun sudah, antem hits kumpulan Indonesia, Samsons berjudul Kenangan Terindah benar-benar berbekas dalam hati pendengar. Lagu tersebut bukan sahaja meliar pengaruhnya di Indonesia bahkan di negara-negara jiran seperti Malaysia, Singapura dan Brunei.
Di mana sahaja, lagu ciptaan Irfan Aulia dan Bams itu pastinya menjadi siulan ramai. Maka, nama Samsons juga bertebaran di nusantara dan diangkat sebagai antara yang popular dan pada masa sama, sering melahirkan karya-karya terbaik lain seperti Bukan Diriku, Naluri Lelaki, Akhir Rasa ini dan banyak lagu hit lain.
Itu cerita 15 tahun lalu. Sekarang Samsons terpaksa akur dengan peredaran zaman yang barangkali tidak lagi berputar pada paksa kumpulan yang kini dianggotai Ariadinata, Erik Partogi Siagian, Irfan Aulia, Chandra ‘Konde’ Christanto dan Aldri Dataviadi.
Vokalis asal Samsons, Bams sudah meninggalkan kumpulan itu sekitar 2012 atas alasan jiwanya tidak lagi sehaluan dengan muzik dan pentas persembahan.
Citizen journalism
Mengakui realiti kehidupan, Samsons yang ditemu bual HibGlam secara maya baru-baru ini berkata, dunia sudah berubah. Pendekatan yang diguna dahulu untuk mempromosikan sesebuah karya dahulu dan sekarang tidak lagi sama.
“Kalau dahulu, kita ingin mempromosikan album atau lagu, kita ada televisyen dan radio. Itu perkakas kita. Sekarang kita ada perihal yang dipanggil citizen journalism.
“Kita ada sosial media, kita ada pelantar digital seperti iTunes dan Spotify. Ada juga Audio siar atau fail media digital (podcast) yang mudah diakses atau distrim.
“Perkara-perkara itu barangkali aspek yang sudah mengganggu gugat dan mengubah cara pendengar menikmati artis atau lagu kegemaran mereka,” kata Irfan yang setia berperanan sebagai gitaris Samsons.
Ujar Irfan lagi, walaupun putaran roda kurang memihak kepada mereka, Samsons yang sudah lebih 15 tahun bertapak dalam industri seni akan terus melazimkan kedudukan mereka dengan apa yang terbentang.
“Mungkin pemuzik yang membina nama sekarang tidak lalui apa yang kami rasa. Betapa susah untuk memasarkan sesuatu karya kepada pendengar. Dahulu kita guna pendekatan konvensional seperti televisyen dan radio termasuk sokongan rakan-rakan media, sekarang peluang memasarkan muzik bersifat bebas.
“Saya rasa perubahan itu kepada Samsons sekitar 2006 hingga 2012. Sekarang, sesiapa sahaja boleh dengar apa yang mereka mahukan dengan hanya sentuhan di hujung jari melalui gajet. Apa pun, kami sentiasa mencuba yang terbaik menyesuaikan diri dengan keadaan dan kehendak semasa,” kata Irfan seraya menafikan Samsons sudah hilang sentuhan magis dalam penulisan lagu.
Melanjutkan bicara tentang resepi Samsons untuk terus mengibarkan panji-panji muzik walaupun kian mendekati usia dua dasawarsa dalam industri, getus Irfan, perihal yang paling utama ialah komunikasi.
“Perkara paling penting ialah komunikasi. Mungkin kedengaran klise buat segelintir orang namun itu kebenarannya. Ia macam perkahwinan.
“Kami sangat komited antara satu sama lain. Jadi, itulah komunikasi. Klise tetapi itu yang kami pegang sejak dahulu hingga sekarang,” ungkap Irfan seraya tertawa.
Album V
Biarpun tanpa Bam, kumpulan itu setia dibarisi Aria Dinata selaku vokalis, Irfan Aulia Irsal (gitar), Erik Partogi Siagian (gitar) dan Aldri Dataviadi (bass).
Mereka kembali memeriahkan industri muzik dengan diskografi baharu berjudul V.
Naskhah yang semestinya dinantikan peminat tegar mereka, Samsons sendiri mengakui teruja dengan pelancaran album terbabit. Lebih sentimental, mereka sendiri sudah lama tidak muncul dengan karya baharu dan V menjadi pertaruhan cukup menarik.
Masakan tidak, album berkenaan menggunakan khidmat 55 pemuzik terbaik orkestra di Budapest. Mereka terdiri daripada pemain alat muzik bertali, tiup kayu, bras serta seorang pemain genderang yang sering membuat skor muzik untuk filem Hollywood.
Berkongsi pembikinannya, Irfan mengakui proses V tertunda sejak beberapa tahun lalu disebabkan kualiti terbaik yang mereka inginkan.
Di samping itu, Samsons juga mahu menyerlahkan evolusi corak penghasilan karya mereka.
“Kami menyiapkan album itu dalam tempoh lapan bulan dan sebenarnya sudah siap sejak 2016. Album itu banyak keistimewaan dan yang paling utama, semestinya kerjasama sulung bersama orkestra dari Budapest.
“Album ini memiliki momentum dan stimulasi berbeza dengan album terdahulu.
“Kami ingin mendidik pendengar sebagaimana dilakukan kumpulan Coldplay. Karya dihasilkan mereka mengandungi filosofi tersendiri yang menyebabkan coraknya sentiasa pelbagai.
“Itu juga yang Samsons hendak tampilkan dalam album ini. Kami turut pelbagaikan genre pengisian lagu kali ini berbanding sebelumnya. Ada lagu balada, rancak, pop dan pop rock,” katanya.
Orkestra
Irfan mengakui proses pembikinan V bukan satu kerja mudah apatah lagi mereka perlu banyak mengadakan perbincangan dengan pasukan orkestra terbabit.
Sebagai komposer dan penulis penuh untuk album V, Irfan juga terpaksa bekerja lebih keras.
“Terus terang prosesnya memang sangat memenatkan bagi kami. Apatah buat saya selaku pencipta lagu dan penulis lirik, banyak perlu diteliti serta disiapkan dengan sebaik-baiknya. Terutama sekali, bahagian orkestra.
“Saya bukan pakar dalam muzik sebegini dan cuma tahu asas sahaja. Jadi, di situ timbul cabaran yang agak besar untuk melunaskan album ini.
“Tambahan pula, komunikasi agak terbatas dengan pasukan orkestra dari Budapest yang rata-rata tidak boleh bertutur Inggeris.
“Selain itu, kami juga ada tarikh tetap yang perlu dikejar untuk memastikan semuanya siap seperti dijadualkan.
“Namun semestinya kepuasan itu sukar digambarkan apabila akhirnya kami dapat melancarkan V,” katanya.
Sebagai kumpulan yang sentiasa dinantikan, Samsons mengakui banyak perancangan diatur untuk merancakkan gelombangan karier mereka. Akan datang, agenda konsert virtual sempena ulang tahun ke-15 Samsons dalam industri sedang direncanakan.
“Ikut perancangan awal, konsert akan berlangsung pada bulan depan.
“Kami bercadang untuk mengadakan konsert selama 15 minit secara dalam talian termasuk menerusi YouTube. Kami akan gunakan sepenuhnya tempoh 15 minit itu untuk medley dan ‘mash up’ rangkaian lagu yang lama hingga baharu,” katanya menggulung bicara.