PETALING JAYA – Pengalaman pertama penyanyi Sissy Iman menunggang kuda bertukar menjadi detik trauma dalam kamus hidupnya apabila dia terjatuh dilambung bahkan hampir dihempap haiwan berkenaan.
Kejadian berlaku ketika wanita berusia 26 tahun itu menjayakan penggambaran sebuah program televisyen.
Akibat insiden tersebut, Sissy atau nama sebenarnya Sissy Imann Mohammad Kamil tidak dapat bergerak seperti biasa dan bergantung kepada ubat tahan sakit yang diberikan doktor. Dia bagaimanapun bersyukur kerana hanya mengalami kecederaan ringan.
“Mengikut pemeriksaan doktor, tiada tulang yang patah atau retak cuma lebam dan calar di beberapa bahagian anggota tubuh akibat terhentak jatuh. Bagaimanapun tulang saya berada dalam keadaan baik, namun sakitnya Allah saja yang tahu.
“Buat masa ini saya berehat di rumah, cuma kalau hendak baring pun tidak boleh kerana terlalu sakit. Doktor memberikan tempoh selama lapan jam sekiranya ingin menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Trauma rasanya, kerana setiap kali saya tutup mata, insiden yang berlaku berulang kembali dalam fikiran. Masih terbayang-bayang momen saya dilambung sebelum terjatuh. Namun, syukur juga kerana kuda itu tidak memijak saya,” kongsi Sissy dalam Instagram.
Pelantun lagu Pesanan Ayahanda itu berkata, semua yang berada di lokasi kejadian turut tergamam dan tidak mampu berbuat apa-apa.
Mengulas lebih lanjut mengenai insiden terbabit Sissy berkata, ibu bapanya masih dibelenggu rasa bersalah dan memohon maaf kepadanya.
“Saya memohon kepada orang ramai untuk mendoakan kesihatan dan kesembuhan kerana banyak kerja tertangguh kerana insiden ini. Memandang positif apa yang berlaku, saya anggap ini sebagai peringatan daripada Allah.
“Yanda (bapa) dan bonda masih menyalahkan diri mereka serta asyik meminta maaf kepada saya. Tolong ingatkan mereka juga bahawa apa yang berlaku ini bukan salah yanda dan bonda,” luah Sissy.