fbpx

Premis makanan haiwan sasaran pelanggan guna wang RM100 palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razwan menunjukkan wang kertas RM100 palsu yang diterima di kedai makanan haiwan miliknya di Cherang, Kota Bharu.

KOTA BHARU – Dua peniaga makanan haiwan di sini mendakwa menerima wang tunai RM100 palsu daripada pelanggan yang datang membeli barangan di premis mereka sejak tahun lalu.

Perkara itu dapat dikenalpasti oleh pemilik perniagaan selepas melihat nombor siri pada wang kertas itu adalah sama ketika urusan jual beli barangan tersebut.

Seorang peniaga makanan haiwan, Razwan Rahimi, 32, berkata, kejadian itu berlaku di kedai borong miliknya di Cherang di sini pada tahun lalu dan awal tahun ini.

Katanya, dalam kejadian itu, dia mengenal pasti wang kertas RM100 palsu digunakan oleh pelanggan untuk membeli makanan dan bayaran hutang pembelian barangan di kedainya.

“Saya menyedari kedua-dua wang itu palsu selepas mendapati kepingan kertas berbeza selain tanda garisan tidak bersinar.

“Selepas benar-benar mengenal pasti ia merupakan wang palsu, saya terus membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui pemberita di premisnya di sini semalam.

Razwan berkata, kejadian sama berlaku di kedai menjual makanan kucing milik abangnya yang berusia 36 tahun di Kubang Kerian di sini minggu lepas.

Katanya, ketika kejadian hanya seorang pekerja berada di kaunter sebelum seorang pelanggan lelaki datang membeli makanan kucing dengan menggunakan wang kertas palsu RM100.

“Kejadian itu disedari oleh abang saya keesokan harinya ketika mengira wang hasil jualan barang di kedai dan mendapati sekeping wang kertas RM100 palsu.

“Saya telah telah memuat naik kejadian yang menimpa kami di Facebook supaya peniaga lain berhati-hati bagi mengelakkan kejadian sama berulang selain menyebabkan kerugian,” katanya.

Sementara itu seorang lagi peniaga menjual makanan kucing dari Tumpat, Yulkifli Daud, 32, turut menjadi mangsa penipuan wang palsu sebanyak dua kali pada awal tahun ini.

“Saya hanya menyedari sehari ketika mengira jumlah wang kertas RM100 sebelum mendapati ia palsu. Tetapi saya tidak membuat laporan polis.

“Beberapa tahun sebelum itu, saya juga pernah menerima wang kertas RM20 palsu ketika urusan jual beli di kedai,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Superintendan Ahmad Azizul Mohamed ketika dihubungi mengesahkan bahawa polis menerima laporan mengenai kejadian yang menimpa peniaga-peniaga premis makanan haiwan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan kerana menggunakan mata wang palsu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI