SEBERANG PERAI – Seorang penolong pegawai seni bina di Jabatan Konservasi Warisan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dipenjara sehari dan didenda RM20,000 selepas didapati bersalah menerima rasuah berjumlah RM16,800 beberapa tahun lalu oleh Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini.
Hukuman itu dijatuhkan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid selepas tertuduh, Zamira Juneed, 38, mengaku bersalah bagi lima pertuduhan alternatif yang dibacakan ke atasnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Zamira didakwa menerima rasuah bagi proses permohonan tukar guna kediaman kepada hotel dan proses pengubahsuaian bangunan daripada beberapa pemilik syarikat.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Bagan Luar, Butterworth di sini di antara 14 Januari 2015 hingga 22 September 2016.
Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Selvaranjini dan Mohd. Azlan Basri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – K! ONLINE