Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
MARAN – Produksi filem, pihak universiti, agensi kerajaan dan korporat dipelawa merebut peluang keemasan dengan menyertai ekspedisi menyusuri pantai Antartika yang dijadualkan pada November ini.
Ikon Ratu Kutub Negara, Dr. Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir,54, berkata, peluang keemasan itu terbuka apabila tokoh pengembara kutub, Sir Robert Swan mempelawa menaiki kapalnya dalam misi mengkaji kesan pemanasan global di kawasan berkenaan.
“Sir Robert Swan tertarik hati dengan kejayaan saya membawa tiga orang protege ke Antartika dalam Ekspedisi Wanita Berkumpulan ke Antartika (AWETA) pada 18 Disember 2019 sehingga 3 Januari 2020 dan saya ditawarkan secara percuma oleh penganjur manakala mana-mana pihak perlu membayar separuh harga kos misi selama dua minggu itu.
“Tawaran Robert Swan sangat bermakna kerana peluang seperti itu sukar diperolehi dan perlu direbut oleh para ilmuan dan produksi perfileman untuk membuat penggambaran suasana alam yang cantik dan luar biasa,”katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di kampung Ulu Luit di sini hari ini.
Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir,56, merupakan wanita Asia pertama merentasi Antartika secara solo sejauh 1,110 kilometer dalam masa 22 hari dan menjadi wanita Asia pertama berjaya menjelajah kedua-dua Kutub Utara dan Kutub Selatan selain sering mengadakan ekpedisi lain ke Greenland.
Menurut Sharifah Mazlina, dalam tempuh beberapa bulan ini beliau akan menjalani latihan fizikal dan mental di Tadom Hill Kuala Lumpur dan rumah salji di Genting Higlands sebelum berangkat ke Antartika.
Beliau yang merupakan Ketua Misi AWETA bercadang membawa beberapa protege yang berkelayakan mengikuti ekspedisi berkenaan sekiranya mendapat tajaan daripada badan korporat atau badan amanah pendidikan.
Dalam pada itu, beliau berkata, Robert Swan menyatakan setiap negara wajar membuat dokumentari berkaitan perubahan ketara di kawasan Antartika berikutan pemanasan global.
“Berdasarkan kajian sains termasuk Robert Swan meramalkan kepingan ais di antartika akan cair atau berlaku `kiamat ais` menjelang 2041 jika tiada tindakan konkrit antarabangsa,”ujarnya.-K!ONLINE