MELAKA – Sebanyak 8,190 dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech selamat tiba di negeri ini dan suntikan imunisasi bagi wabak Covid-19 itu akan diberikan kepada penerima bermula 2 Mac depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, program imunisasi fasa pertama itu akan melibatkan seramai 11,000 petugas barisan hadapan dan wakil rakyat di negeri ini.
Katanya, suntikan itu nanti akan dilakukan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di kesemua tiga hospital dan klinik kesihatan di negeri ini.
“Hari ini merupakan hari bersejarah bagi negeri Melaka apabila kita menerima penghantaran dos pertama sebanyak 8,190.
“Suntikan vaksin akan diberikan kepada secara rasmi kepada golongan fasa pertama iaitu barisan petugas hadapan pada 2 Mac, namun sebelum itu vaksinator akan diberikan suntikan pada 26 Februari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di luar pekarangan Hospital Melaka di sini, hari ini.
Rahmad berkata, sebanyak 2,810 lagi dos vaksin dijangka tiba di negeri ini dalam masa masa dua hari bagi melengkapkan jumlah keseluruhan 11,000 dos vaksin bagi fasa satu.
Tambahnya, pemberian vaksin fasa kedua dijadualkan bermula pada Mei hingga Ogos depan melibatkan seramai 250,000 pesakit kronik dan warga emas.
“Fasa ketiga pula membabitkan 400,000 individu berumur 18 tahun ke atas pada September hingga Februari 2022.
“Saya berharap orang ramai akan membuat pendaftaran melalui MySejahtera atau boleh menghubungi Bilik Gerakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka di talian 06-2356876 untuk mendapatkan suntikan vaksin ini bagi memutuskan rangkaian Covid-19 ini,” katanya. – K! ONLINE