fbpx

Marquez belum pasti berlumba Mac depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MARQUEZ (kiri) bersama rakan sepasukan, Pol Espargaro bergambar bersama jentera baharu pasukan Repsol Honda bagi saingan MotoGP musim 2021.

LONDON – Jaguh dunia Kejuara­an Motosikal Dunia (MotoGP) enak kali, Marc Marquez mendedahkan, dia tidak pasti bila akan kembali ke litar perlumbaan selepas mengakui masih dalam proses pemulihan kecede­raan hasil pembedahan tahun lalu.

Semalam, Marquez dilihat bersemangat apabila hadir untuk memperkenalkan penampilan jentera baharu Honda pada perlumbaan musim ini, namun dia menjelaskan masih belum dapat memutuskan sama ada mampu bersaing atau tidak pada perlumbaan pembukaan di Qatar.

Pelumba Honda itu mengalami kecederaan patah tulang humerus (tulang lengan) ketika beraksi pada Grand Prix (GP) Sepanyol musim lalu sekali gus tidak beraksi sepanjang perlumbaan musim 2020.

Akibat kecederaan itu, Marquez telah menjalani pembedahan ketiga pada Disember tahun lalu dan memerlukan tempoh berehat minimum selama enam bulan.

Kecederaan Marquez dijangka pulih pada Jun 2021 dan dijangka tidak dapat menyertai perlumbaan awal musim MotoGP 2021 yang dijadualkan bermula 28 Mac depan di Qatar.

“Proses pemulihan kecede­ra­an saya semakin baik dari semasa ke semasa. Keadaan saya juga dalam keadaan bagus. Setiap kali menjalani pemeriksaan, doktor menjelaskan keadaan lengan saya agak positif.

“Perkara positif itu sangat penting selepas berehat panjang sejak musim lalu. Saya juga tetap menjalani sesi fesioterapi dan melakukan sedikit latihan berat.

“Namun, saya dan doktor juga tidak dapat pastikan bila saya benar-benar sihat untuk kembali menunggang jentera bersama pasukan. Misi saya ketika ini adalah untuk turun pada sesi ujian rasmi di Qatar. Jika tidak meng­izinkan lagi, saya akan cuba turun berlumba pada perlumbaan pembukaan di Qatar.

“Kami akan melihat adakah saya benar-benar pulih dan jika tidak, saya akan cuba beraksi di Portimao. Perkara paling penting ketika ini adalah kecederaan saya beransur pulih. Saya yakin mampu bersama pasukan tidak lama lagi,” kata Marquez. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI