KLANG – Cubaan menyeludup masuk buluh perhiasan membawa tuah (Lucky Bamboo ) seberat 8,000 kilogram (kg) dari Indonesia gagal selepas dirampas pihak berkuasa di Pelabuhan Utara, di sini, kelmarin.
Rampasan itu hasil pemeriksaan terhadap sebuah kontena pukul 10 pagi oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor.
Pengarahnya, Zamri Hashim berkata, siasatan awal mendapati kontena dari Indonesia telah tiba di pelabuhan itu sejak 16 Februari lalu.
Katanya, lucky bamboo itu adalah untuk pasaran dalam negara ini.
“Hasil pemeriksaan menemukan 8,000 kg Lucky Bamboo yang dianggarkan bernilai RM 52,486.87.
“Kesemua buluh tersebut tidak mematuhi syarat import Maqis seperti permit, lesen dan perakuan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati sebuah lucky bamboo dijual pada harga RM6.56 dan untuk tanaman hiasan di rumah dan taman.
Difahamkan, buluh ini dikatakan sering digunakan amalan dalam membawa tuah dan menolak sebarang unsur negatif kepada pemiliknya.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin danPemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(2), Akta sama.
“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya,” jelasnya. – K!ONLINE