LOS ANGELES – Legenda sukan golf dunia, Tiger Woods, 45, terlibat dalam satu kemalangan ngeri apabila keretanya terjunam ke dalam gaung, awal pagi semalam, kata sumber penguatkuasa LA kepada stsesen penyiaran CNN.
Beliau dilaporkan hanya mengalami patah tulang di kakinya dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius atau mengancam nyawa.
Woods berada dalam keadaan sedar ketika penguatkuasa tiba di lokasi kejadian di Rancho Palos Verdes, kata Sheriff Daerah Los Angeles, Leftenan Michael White kepada anggota gabungan CNN, KCAL / KCBS.
Namun begitu, menurut ciapan Twitter dari Jabatan Bomba Los Angeles County, Woods berada dalam keadaan serius ketika dibawa ke hospital malah terpaksa dikeluarkan dari kereta menggunakan beberapa alatan khas.
Menurut wakil Jabatan Syerif Los Angeles, Kapten James Power kemalangan dipercayai akibat Woods hilang kawalan terhadap kenderaan yang dipandu laju ketika melalui jalan curam dan menghala turun daripada bukit.
“Laporan awal tidak menunjukkan sebarang kerosakan pada komponen dalaman kereta atau sebarang perbuatan khianat,” kata Power.
Woods yang bersendirian dalam kereta ketika kemalangan berlaku dibawa ke Pusat Perubatan Harbour- UCLA untuk rawatan lanjut. – Agensi