fbpx

Juventus mula pamer belang sebenar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RONALDO (kiri) menampilkan prestasi terbaiknya apabila meledak dua gol ketika menewaskan Crotone awal pagi semalam. – AFP

TURIN – Juventus kembali berada pada landasan terbaik dalam perebutan kejuaraan Scudetto saingan Serie A selepas menewaskan Crotone 3-0 di Stadium Allianz awal pagi semalam.

Bintang Juventus, Cristiano Ronaldo meledak dua gol dalam babak pertama sebelum Weston McKennie mengesahkan tiga mata buat juara bertahan sembilan musim berturut-turut itu dengan jaringan ketiga pada minit ke-66.

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad kendalian ­Andrea Pirlo itu kekal menghuni tangga ketiga tetapi masih ke­tinggalan lapan mata di belakang pendahulu liga, Inter Milan.

Bagaimanapun, Juventus kini hanya ketinggalan empat mata dengan pasukan tempat kedua, AC Milan yang tewas dua kali berturut-turut dalam aksi Serie A termasuk tumbang 0-3 kepada Inter di Stadium San Siro kelmarin.

“Kami sedikit gugup pada awal permainan mungkin disebabkan kekalahan terdahulu. Namun, pemain mula serasi dan mendapat rentak sebenar tidak lama kemudian sehingga membolehkan kami meledak gol pertama.

“Meskipun permulaan tidak berapa baik, namun paling mustahak kami dapat membawa pulang tiga mata penuh menerusi tiga jaringan hari ini (awal pagi semalam),” kata Pirlo.

Dalam masa sama, Pirlo meluahkan kebimbangannya menjelang aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara berdepan jaguh Portugal, Porto pada 10 Mac depan berikutan ramai pemain utamanya masih dibelenggu masalah kecederaan.

“Saya tidak tahu berapa pemain yang bersedia untuk aksi menentang Porto. Saya harap ada di antara mereka dapat pulih dan mencapai tahap kecergasan terbaik sebelum aksi bertemu Porto,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN