LUMUT – Seorang lelaki yang mempunyai hobi pelik membaling batu ke arah kenderaan di sekitar Ayer Tawar dekat sini, ditahan polis petang semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, lelaki berusia 30-an itu ditahan di Kampung Paya Nibong, Ayer Tawar, pada pukul 6.10 petang.
Menurutnya, saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu atau methamphetamine.
“Siasatan awal mendapati suspek melakukan kegiatan khianat itu berseorangan dan mendakwa ia bertujuan untuk suka-suka selepas mengambil dadah.
“Suspek mendakwa akan menyorok di kawasan pembahagi jalan dan pokok dalam satu-satu masa untuk membaling batu ke arah kenderaan yang melalui kawasan sekitar Ayer Tawar,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Nor Omar, ketika ditahan, suspek sedang menunggang motosikal jenis Honda EX5 tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan khayal.
Jelasnya lagi, polis juga menemui enam ketul batu di bakul motosikal yang ditunggangi lelaki tersebut dipercayai akan digunakan untuk dibaling ke arah kenderaan lalu lalang.
Nor Omar berkata, pemeriksaan lanjut pada poket belakang seluar suspek turut menemui satu tiub penyedut minuman berisi ketulan kristal disyaki syabu.
Katanya, lelaki itu bersama barang rampasan dibawa ke Balai Polis Ayer Tawar untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sebelum ini, tular dakwaan ada individu dikatakan menyorok di sebalik pokok dan akan membaling sesuatu secara rambang ke arah kenderaan yang melalui jalan raya di sekitar Ayer Tawar.
Terdapat juga dakwaan mengatakan individu sama meletakkan batu besar di tengah jalan yang boleh mengakibatkan kemalangan atau kerosakan terhadap kenderaan yang melanggar atau cuba mengelak daripada melanggarnya. – K! ONLINE