fbpx

Elizabeth Tan, Hazama ‘beku’ bersama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ELIZABETH TAN dan Hazama.

SELEPAS setahun tidak muncul dengan single baharu, penyanyi bersuara manja, Elizabeth Tan akhirnya muncul dengan buah tangan baharu berjudul Beku.

Tidak lagi ‘beku’ bersendirian, Elizabeth sebaliknya tampil dengan gabungan suara penyanyi hebat, Hazama.

Beku ciptaan komposer John Jeevasingham, Firdaus Rahmat dan Omar K, manakala lirik oleh Firdaus Rahmat menjadi buah tangan pertama mempertemukan Elizabeth dengan Hazama sebagai pasangan duet.

Pertama kali bergabung suara dalam sebuah lagu, Elizabeth atau lebih mesra disapa Lizzy mengakui sangat teruja dapat menyanyikan Beku bersama Hazama yang selama ini menjadi seorang daripada penyanyi tempatan pujaannya.

“Saya memang peminat Hazama dari dahulu lagi. Jujur saya katakan apabila mengetahui bakal menyanyikan lagu ini (Beku) bersama Hazama, saya rasa segan sebenarnya.

“Dalam segan saya seronok dapat bekerjasama dengan Hazama dan gembira kerana dapat berduet dengan seorang penyanyi yang saya minati,” ujar penyanyi berusia 28 tahun itu.

Hazama menyifatkan kerjasama dengan Lizzy menerusi Beku sebagai gandingan serasi kerana masing-masing menerapkan karakter sendiri dalam lagu tersebut.

“Kalau ikutkan, Beku pada awalnya sebuah projek solo Lizzy. Tetapi pihak pengurusan Warner Music telah memberi tawaran kepada saya menyanyikan lagu tersebut secara duet dengan Lizzy.

“Alhamdulillah kami tidak berdepan dengan cabaran besar untuk merakamkan lagu ini kerana masing-masing tahu peranan dan dapat menghayatinya dengan baik memandangkan Beku merupakan lagu berentak balada,” ujar Hazama atau nama sebenarnya, Hazama Ahmad Azmi, 37.

Sama seperti Lizzy, Hazama turut berperasaan sama apabila berasa malu-malu untuk berduet dengan Lizzy memandangkan ini kolaboratif sulung mereka.

KISAH cinta Elizabeth Tan dan Hazama dalam video muzik Beku diaspirasikan daripada filem Captain America.

Pengantin

Ketika ditanya apakah keistimewaan yang ada pada Hazama, Lizzy tanpa berselindung memberitahu bahawa dia sangat sukakan tona suara milik Hazama.

“Saya suka tona suara Hazama. Rasa unik sangat. Bila dengar dalam radio, orang boleh tahu itu suara dia (Hazama),” kata Lizzy.

Menariknya, lagu Beku turut hadir bersama dengan video muzik yang dirakam sebelum Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP) dilaksanakan di seluruh Malaysia pada 18 Februari lalu.

Dalam muzik video tersebut, terlihat Lizzy memperagakan busana pengantin yang sebelum ini pernah menjadi buah mulut peminatnya apabila dimuat naik dalam Instagram.

Menurut Lizzy, cara sebegitu paling mudah bagi mempromosikan lagu Beku memandangkan pada waktu tersebut pihak pengurusan juga kesuntukan masa.

“Idea video muzik itu adalah daripada saya bersama pengurus.

“Jadi saya perlu fikirkan sesuatu yang bersesuaian dengan konsep lagu dan status Hazama yang telah berkahwin.

“Bercakap tentang lagu ini, Beku tiada kena mengena langsung dengan pengalaman cinta saya. Tetapi yang pasti, saya sangat sukakan melodi dan liriknya yang sangat mendalam,” ujar Lizzy.

Mengambil inspirasi daripada kisah filem Captain America yang pernah ‘beku’ dan kemudian ‘cair’ selepas menemui cintanya, tajuk Beku juga dipilih berdasarkan kisah cinta romantik tersebut

Menyentuh sedikit tentang isu semasa, sama seperti kebanyakan masyarakat Malaysia yang terkesan akibat Covid-19, Hazama turut mengakui berdepan cabaran serupa.

“Banyak projek yang telah dirancang terpaksa ditunda, sekali gus memberi kesan kepada pendapatan saya.

“Untuk orang macam saya, ada kerja baru ada pendapatan.

“Jadi buat masa ini saya berniaga dengan menjual asam laksa. Sekurang-kurangnya saya boleh menjana pendapatan walaupun tidak seberapa,” katanya.

Sementara itu, Lizzy pula bakal keluar dengan tiga buah filem pada tahun ini, namun semua perancangan tersebut terpaksa ditangguhkan akibat keadaan semasa.

Lizzy bagaimanapun bernasib baik kerana aktif dalam media sosial, sekali gus dapat membantunya menjana pendapat menerusi ulasan produk dan kerjasama komersial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI