KULAI – Polis menahan dua lelaki tempatan selepas disyaki memiliki dadah ketika pemeriksaan dibuat terhadap mereka di tempat meletak kenderaan sebuah restoran makanan segera di Senai Impian, Senai di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, kedua-dua suspek berusia 30 tahun itu ditahan pada pukul 10 malam.
Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kulai melakukan serbuan ke atas kedua-dua suspek.
“Pemeriksaan dibuat mendapati satu beg plastik berwarna putih mengandungi satu peket lutsinar berisi serbuk kristal dipercayai syabu seberat 510 gram.
“Anggaran nilai dadah yang dirampas adalah RM19,000,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Beng Yeow, siasatan lanjut dibuat mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
Manakala ujian saringan air kencing mendapati mereka positif penyalahgunaan dadah jenis methamphetamine.
Ujarnya, siasatan awal juga mendapati suspek disyaki cuba mengedar dadah untuk penagih disekitar daerah Kulai dan Johor Bahru.
“Mereka kini dikenakan reman selama lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan.
“Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya lanjut. – K! ONLINE