BERTEMANKAN kucing atau anjing sudah menjadi kebiasaan, tetapi berbeza bagi seorang lelaki di Turki yang bersahabat dengan angsa selama lebih tiga dekad.
Kisah bermula pada tahun 1984 apabila seorang posmen di Turki telah menyelamatkan seekor angsa putih yang tercedera pada bahagian sayap di sebuah ladang terbiar.
Ketika itu, Recep Mirzan dan rakan setugasnya sedang dalam perjalanan untuk menghantar surat kepada penduduk.
Mereka melalui jalan pintas dan kebetulan terlihat seekor angsa yang dalam keadaan cedera.
Mirzan memberhentikan kereta dan menyelamat angsa betina itu kemudian membawanya masuk ke dalam kereta bagi mengelakkan ia dibaham pemangsa.
Sampai di rumah, lelaki itu telah merawat angsa tersebut dengan memasang kayu pada sayapnya yang diikat dengan tali.
Dia menamakan angsa itu sebagai Garip yang membawa maksud pelik.
Demikian kisah pertemuan Mirzan dan angsa kesayangannya yang kini hidup bersama sejak 37 tahun lalu, malah kedua-duanya tidak pernah terpisah.
Pesara posmen itu yang kini berusia 63 tahun tinggal bersama angsa tersebut di sebuah desa terpencil di wilayah Edirne, Turki.
Garip dan Mirza mempunyai ikatan yang luar biasa kerana sebahagian besar masa dihabiskan bersama-sama.
Angsa tersebut akan selalu menemani lelaki itu ketika dia bekerja di ladang dan berjalan santai bersama-sama pada waktu petang.
Garip juga tidak pernah cuba melarikan diri daripada lelaki itu.
Mirzan telah kehilangan isteri beberapa tahun lalu. Dia yang juga tidak dikurniakan cahaya mata telah menganggap Garip umpama anaknya sendiri.
Justeru, kehadiran Garip mengubat kesunyian dan memberi kegembiraan kepadanya dalam melayari kehidupan seorang diri.
“Saya sangat menyayangi Garip kerana dia sangat setia, tidak pernah cuba meloloskan diri dari ladang dan sentiasa berada di sisi dalam suka serta duka.
“Semoga ia dapat hidup lebih lama lagi walaupun usianya sudah melebihi tiga dekad kerana Garip kawan terbaik dan sangat memahami saya,” katanya kepada media tempatan.
Tambah Mirzan, sekiranya ia pergi dahulu, lelaki itu akan membina kubur yang indah sebagai tempat persemadian untuk Garip berehat buat selama-lamanya.
Hidup bersama Mirzan memberi manfaat besar buat Garip kerana umurnya lebih panjang berbanding angsa liar yang lain.
Menurut pusat pelindungan angsa yang berpusat di United Kingdom, kebiasaannya purata jangka hayat bagi angsa liar cuma selama 12 tahun.
Namun, sekiranya berada di kawasan dilindungi, ia boleh mencapai usia yang lebih panjang.
Bercerita lanjut mengenai pertemuan pertama Mirzan dengan angsa tersebut, dia memberitahu menjumpai ‘keindahan’ yang mana ketika itu berlaku pada musim sejuk.
“Saya mengambil keputusan membawanya pulang kerana tidak mahu haiwan itu menjadi makanan musang.
“Sungguh tidak disangka haiwan yang diselamatkan itu telah hidup bersama saya lebih tiga dekad,” tuturnya yang merupakan pencinta haiwan.
Garip merupakan angsa yang manja dan peramah. Haiwan itu turut berkawan dengan anjing serta kucing di kawasan kejiranannya.
Sementara itu, di Minnesota, Amerika Syarikat (AS) pula turut mempunyai kisah hubungan persahabatan unik yang mana seorang lelaki, Derek Johnson telah memelihara seekor itik sejak ia menetas dan memberinya nama Ben Afquack.
Itik tersebut tinggal bersama Johnson dan isterinya Stephanie, malah keluarga itu turut membela dua ekor anjing dan seekor kucing.
Lucunya, Afquack menganggap dirinya salah seekor anjing itu dan bergaul rapat dengan haiwan tersebut.
Itik itu tidak boleh dipisahkan dengan pemiliknya dan Johnson akan membawanya bersiar-siar dengan menaiki motosikal selain melakukan aktiviti bersama-sama.
Johnson akan memasukkan itik itu ke dalam beg khas yang berjaring bagi membolehkan haiwan itu melihat pemandangan luar.
Oleh itu, sebaik sahaja melihat beg galas tersebut, Afquack akan segera mendekati tuannya dan menggigit zip dengan teruja.
Jelas Johnson, Afquack tahu yang dia akan membawanya keluar bersiar-siar dengan menaiki motosikal dan mengunjungi kolam atau taman.
Itik ini adalah sebahagian daripada keluarga kecil Johnson dan isterinya.
Mereka akan membawanya ke mana sahaja dan turut melakukan aktiviti bersama-sama.
Johnson memberitahu, itik tersebut sangat suka menghabiskan masa bersama dia dan isteri serta gemar menonton filem pada waktu malam.
“Ketika menonton filem, saya akan memeluk Afquack dan membalikkan badannya seperti bola.
“Dia akan mula tertidur apabila saya membelai hidungnya,” katanya sambil tersenyum melihat gelagat comel Afquack.
Johnson berkongsi video dan gambar itik tersebut menerusi Instagram Afquack, minnesotaduck.
Siapa sangka, perkongsian video pendek dan gambar gelagat itik tersebut bersama Johnson telah menjadi tular dan menawan hati sesiapa sahaja yang menontonnya.
Afquack kini mempunyai 90,200 pengikut di Instagram lantas menjadikannya itik paling popular.
Baru-baru ini Afquack telah dinobatkan sebagai itik paling ramai pengikut di Instagram oleh Guinness World Records (GWR) 2021.
“Ben Afquack telah memecahkan rekod sebagai itik paling ramai pengikut di Instagram dan ia telah muncul dalam GWR bagi edisi 2021 untuk pencapaiannya yang luar biasa.
“Itik itu berjaya mencuit hati orang ramai yang menontonnya di Instagram,” tulis satu kenyataan oleh GWR.