PASIR MAS – Kebanyakan mangsa runtuhan tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Chelagi di sini terpaksa mencari rumah sewa untuk meneruskan kehidupan selepas kediaman milik mereka ranap dalam kejadian minggu lalu.
Seorang penduduk, Wan Khadijah Wan Ibrahim, 77, berkata, dia kini menumpang di rumah anaknya yang terletak di Kampung Kubang Panjang di sini.
Menurutnya, keputusan untuk mencari rumah sewa disebabkan tidak mahu menyusahkan anak-anak yang sudah berkeluarga.
“Saya sudah reda dengan kejadian yang berlaku. Ini merupakan ujian Allah yang perlu ditempuhi dengan sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima sumbangan wang tunai daripada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari hari ini.
Wan Khadijah memberitahu, meskipun masih trauma, dia tetap mahu memadamkam detik hitam itu daripada fikirannya.
Katanya, dia kini sudah bersedia untuk bangkit dan meneruskan kehidupan seperti biasa.
Sementara itu, Ahmad Fadhli berkata, beliau cuba sedaya upaya untuk memastikan nasib penduduk terlibat terbela.
Katanya, sebagai langkah awal, beliau telah mengemukakan cadangan kepada penduduk untuk mewujudkan jawatankuasa bertindak berkaitan dengan insiden itu.
“Cadangan itu telah dipersetujui oleh mereka. Jawatankuasa ini akan membantu nasib penduduk terlibat akan lebih terbela selepas ini,” katanya. -K! ONLINE.