fbpx

Suspek ajak merokok sebelum samun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

GOMBAK – Seorang lelaki tempatan kini menjadi buruan polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian samun melibatkan seorang pemandu teksi dalam satu kejadian di Jalan Pinggiran 2/3, Taman Pinggiran Batu Caves, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi selepas mangsa yang merupakan pemandu teksi mengambil penumpang seorang lelaki tempatan di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

“Setelah tiba di lokasi kejadian, suspek berpura-pura meminta mangsa untuk menunggu sebentar dengan alasan untuk bertemu seorang rakan.

“Suspek kemudiannya mengajak mangsa untuk menghisap rokok di luar teksi bersamanya namun sebaik mangsa keluar dari kenderaan suspek telah meluru masuk ke tempat duduk hadapan teksi dan mengunci pintu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelas Arifai, mangsa sempat pergi ke bahagian penumpang hadapan dan membuka pintu kereta untuk masuk namun suspek bertindak memecut laju melarikan kereta jenis Proton Persona berwarna merah putih dengan nombor pendaftaran HWE 7748 milik mangsa.

“Susulan kejadian itu, mangsa telah terjatuh dan mengalami kecederaan pada bahagian muka, kedua-dua belah tangan, dan kaki.

“Kes ini masih lagi di dalam siasatan yang dilakukan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

Mengulas lanjut, Arifai berkata, suspek merupakan seorang lelaki tempatan berkulit gelap, berbadan gempal dan pendek dengan gaya potongan rambut pendek.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian boleh menyalurkannya dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohd. Fildza Che Ibrahim di talian 016-9537372 atau 03-61262222.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI