fbpx

Nazim Othman kini ‘laku keras’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAZIM OTHMAN

DRAMA Takdir Yang Tertulis (TYT) yang disiarkan menerusi slot Samarinda TV3 baru-baru ini memberi impak berbeza kepada para penontonnya.

Masakan tidak, hampir setiap hari drama yang diarahkan Shahrulezad Mohameddin berkenaan mencatat sohor kini (trending) dalam media sosial.

Malah wajah utama yang menghiasi drama berkenaan seperti Nad Zainal, Nazim Othman, Alvin Chong dan Elvina Mohamad menjadi sebutan susulan lakonan hebat yang ditonjolkan.

Ikuti temu bual HibGlam bersama pelakon Nazim Othman atau nama sebenarnya Nushrul Alif Othman yang memegang watak Azlan dalam TYT.

Pelakon berusia 37 tahun itu turut berbicara tentang soal jodoh selepas kembali memegang status bujang sejak pertengahan tahun 2018.

HIBGLAM: Boleh Nazim kongsi pengalaman bekerja dalam drama TYT yang menjadi kegilaan rakyat Malaysia baru-baru ini.
NAZIM: Sejujurnya kehebatan drama ini adalah hasil kerjasama semua individu yang terlibat termasuklah para pelakon dan tenaga produksi.
Ada juga komen-komen yang mengatakan saya nampak berbeza dalam TYT. Saya berterima kasih atas segala maklum balas positif daripada penonton dan bersyukur kerana hasil kerja keras dihargai ramai.

Mungkin anda boleh kongsikan sekiranya ada membuat sebarang rujukan sebelum memainkan watak Azlan.
Sebagai pelakon, saya sangat menitikberatkan karakter yang akan dilakonkan dalam sesebuah naskhah. Termasuklah teknik lontaran dialog, cara pandangan dan berjalan serta warna pakaian.
Saya berusaha untuk memberi kelainan dan berterima kasih kepada pengarah yang memberi kebebasan untuk menghidupkan watak Azlan.
Saya meletakkan diri sendiri dalam diri Azlan dan cuba memahami pola pemikiran dia demi watak itu.
Berbicara tentang rujukan, saya mengambil inspirasi daripada cara lakonan hebat Leonardo Di Caprio dalam filem Revolutionary Road yang sarat dengan emosi.

MESKIPUN industri dibanjiri kehadiran wajah muda yang berpotensi menjadi watak utama, namun sehingga kini Nazim masih menjadi buruan ramai penerbit dan rumah produksi tanah air.

Apakah pendapat anda selepas terdapat segelintir netizen yang terbawa-bawa emosi sehingga mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya kepada para pelakon?
Saya berharap penonton dapat memahami segala pengajaran yang cuba disampaikan melalui naskhah berkenaan dan tidak terlalu dibuai emosi di permukaan semata-mata.
Elakkanlah daripada memaki hamun kami yang bekerja sebagai pelakon. Mereka hanya jalankan tugas sebagai pelakon dalam naskhah sahaja.

Ada pihak yang menggelar anda sebagai hero ‘laku keras’ dan kegemaran pengarah serta penonton, komen?
Syukurlah pihak produser dan stesen televisyen masih menerima baik hasil kerja saya. Ruang, peluang dan kepercayaan mereka tidak akan saya sia-siakan. Secara peribadi, saya akan terus berusaha membuat yang terbaik dalam setiap naskhah yang diberikan selagi berdaya.
Saya juga mahu berterima kasih kepada penonton dan peminat yang sentiasa menyokong kerjaya saya selama ini. Tanpa sokongan mereka, saya tidak akan berada di posisi sekarang.

Umum tahu anda sudah kembali bergelar lelaki bujang sejak tiga tahun lalu, tidakkah anda terbuka hati untuk kembali berumah tangga?
Pada tahun 2019, saya ada melalui perubahan fasa dalam hidup apabila kembali membuka pintu hati untuk mendirikan rumah tangga.
Jujurnya, saya berusaha mencari calon ketika itu termasuklah menggunakan platform media sosial tetapi soal jodoh semuanya ditentukan oleh Allah SWT.
Pendek kata, belum sampai seru lagi dan saya yakin Tuhan lebih tahu apa yang terbaik untuk saya.

Jadi, adakah anda sudah berputus asa untuk terus mencari individu yang sesuai dijadikan isteri?
Dulu, fokus saya mungkin tentang mencari jodoh tetapi sejak pandemik Covid-19, pandangan hidup saya pun berubah.
Buat masa ini, saya lebih banyak luangkan masa untuk belajar ilmu yang sebelum ini kurang saya titik beratkan seperti hartanah dan perniagaan.
Bagaimanapun, jangan risau. Hati saya masih terbuka untuk menerima mana-mana individu yang sesuai dijadikan teman hidup.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI