LONDON – Pokok kaktus rantau Amazon yang jarang ditemui, Moonflower berbunga dan mekar buat kali pertama di Britain, lapor akhbar Daily Mail.
Bunga itu mekar selama 12 jam dan detik tersebut ditonton lebih 200,000 orang menerusi siaran langsung dari Taman Botani Universiti Cambridge (CUBG) di England Sabtu lalu.
Orang ramai yang mula menonton siaran langsung itu di sebelah petang terkejut kerana Moonflower itu mekar sejak dari tengah hari lagi.
Bunga pokok kaktus Moonflower biasanya mekar pada malam hari dan sekali sahaja dalam setahun.
Bunga berwarna putih tersebut berukuran 28 sentimeter panjang apabila kembang sepenuhnya pada pukul 5 petang (waktu tempatan).
Penyelia rumah hijau CUBG, Alex Summers berkata, bunga itu mengeluarkan bau seakan-akan bunga melur, namun selepas 12 jam aromanya bertukar seperti bau ‘tandas awam’.
Tambahnya, mereka berada dalam keadaan teruja sebaik mengetahui bahawa kaktus itu akan mekar.
“Semua yang berada di taman ini terpesona dan saya berasa bertuah berada di sini untuk menyaksikannya,” kata Summers.
Bunga itu diharapkan akan mekar pada setiap tahun.
Keterujaan terhadap Moonflower itu bermula apabila Summers menyedari kemunculan kudup bunganya pada November tahun lalu.
Bagaimanapun, minat orang ramai terhadap bunga itu hanya timbul baru-baru ini. – Agensi