SEBERANG PERAI – Kebakaran kabel elektrik yang berlaku di bawah Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 3.2 dekat Perai di sini semalam dilaporkan berulang lagi pagi tadi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.17 pagi berhubung insiden terbabit.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai, Bandar Perda dan Paya Terubong telah bergegas ke lokasi bagi operasi memadamkan kebakaran.
“Ia turut dibantu oleh Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) dan agensi-agensi lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut jurucakap itu, tiada mangsa dilaporkan terlibat dan punca kejadian masih dalam siasatan.
Kosmo! Online semalam melaporkan, Jambatan Pulau Pinang mengalami kesesakan jalan raya selepas pengguna melihat asap berwarna hitam keluar dari tengah jalan kira-kira pukul 4 petang.
Kkejadian berlaku apabila terdapat kebakaran kabel elektrik di bawah jambatan tersebut. – K! ONLINE