GEORGE TOWN – Pengendali Jambatan Pulau Pinang, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memberi jaminan bahawa keseluruhan struktur jambatan tersebut masih kukuh dan selamat kepada pengguna susulan insiden kebakaran kabel elektrik di Kilometer 3.2 jambatan itu semalam.
PLUS dalam satu kenyataan berkata, lorong kanan di kedua-dua arah berdekatan lokasi kejadian bagaimanapun ditutup selama beberapa hari bagi membolehkan pihak berkuasa melakukan siasatan lanjut.
“Sepanjang tempoh itu, PLUS menggalakkan orang ramai supaya menggunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah untuk mengelakkan kesesakan disebabkan oleh penutupan lorong tersebut.
“PLUS juga akan terus menyalurkan maklumat trafik terkini menerusi paparan papan tanda elektronik di lokasi strategik di lebuh raya dan di media sosial seperti Twitter PLUSTrafik,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, pengguna turut digalakkan memuat turun aplikasi PLUS di telefon pintar dan berinteraksi dengan Chatbot pertama lebuh raya iaitu PUTRI untuk mendapatkan maklumat trafik.
Kosmo! Online semalam melaporkan, Jambatan Pulau Pinang mengalami kesesakan jalan raya selepas pengguna melihat asap berwarna hitam keluar dari tengah jalan kira-kira pukul 4 petang.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, kejadian berlaku apabila terdapat kebakaran kabel elektrik di bawah jambatan tersebut. – K! ONLINE