BANGKOK – Pertubuhan hak haiwan, PETA menggesa negara-negara yang mengadakan latihan ketenteraan antarabangsa menghentikan serta-merta perbuatan minum darah ular dan makan cicak hidup.
Latihan komando yang dianjurkan setiap tahun itu termasuk di Thailand dibimbangi akan mencetuskan pandemik baharu, demikian amaran yang dikeluarkan PETA sebagaimana dilaporkan akhbar Daily Star, semalam.
Pasukan tentera dari serata dunia akan berada di Thailand pada setiap tahun untuk menyertai latihan tentera lasak dikenali sebagai Cobra Gold.
PETA mendesak latihan itu dihentikan dan telah mengirimkan surat rasmi kepada pegawai kanan Pertahanan Thailand dan Britain berkenaan isu tersebut.
Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu mendesak penganjur menggantikan aktiviti makan haiwan dalam sesi ikhtiar hidup dengan latihan lain yang lebih efektif dan beretika .
“Penggunaan haiwan hidup semasa Cobra Gold menimbulkan risiko menyebarkan penyakit bawaan haiwan seperti Covid-19 dan boleh membahayakan anggota tentera serta masyarakat dunia.
“Virus seperti SARS-CoV-2 (Covid-19) berkemungkinan berasal daripada kelawar dan menjangkiti manusia melalui hubungan dengan haiwan perantaraan,” kata seorang jurucakap PETA.
Tambah PETA, kira-kira tiga perempat daripada semua penyakit berjangkit yang dikenal pasti pada zaman moden bermula daripada virus yang terdapat pada haiwan sebelum ‘melompat’ menjangkiti manusia.
Latihan tentera Cobra Gold pertama kali diadakan pada 1982 dan melibatkan peserta perlu membunuh ayam dengan tangan dan memakan cicak gecko, kala jengking serta tarantula hidup-hidup.
Selain itu, peserta juga diajar untuk memenggal kepala dan minum darah ular tedung dalam apa yang didakwa sebagai latihan mempersiapkan mereka menghadapi keadaan kecemasan dalam hutan.
Kira-kira 4,500 askar Amerika Syarikat (AS) menyertai Cobra Gold 2020 tahun lalu bersama anggota tentera dari Singapura, China, Jepun, India, Korea Selatan, Indonesia dan Malaysia, lapor akhbar The Sun. – AGENSI