LONDON – Pasukan Alpha Tauri telah menetapkan sasaran untuk kekal bersaing dalam kelompok depan menerusi jentera baharu yang dilancarkan AT02 bagi saingan Formula Satu musim ini.
Alpha Tauri yang memenangi perlumbaan pada Grand Prix (GP) Itali menerusi pelumbanya, Pierre Gasly musim lalu berjaya menamatkan saingan di kedudukan ketujuh bagi kategori pasukan.
Prinsipal Alpha Tauri, Franz Tost berkata, pada musim lalu pasukannya bersaing dengan pasukan seperti McLaren, Renault dan Racing Point.
“Bagaimanapun, sasaran kami pada tahun ini adalah untuk lebih konsisten dalam kelompok tengah teratas malah akan berusaha untuk lebih ke hadapan,” kata Tost.
Dalam pada itu, Gasly kekal sebagai pelumba Alpha Tauri bagi musim 2021 dan menjadi musim ketiga penuh bersama pasukan tersebut dan tahun keempatnya dalam saingan F1.
Pemandu kelahiran Perancis berusia 25 tahun itu akan bergandingan dengan pelumba rookie baharu dari Jepun, Yuki Tsunoda, 20, yang menggantikan pemandu Rusia, Daniil Kvyat.
Gasly telah dinaikkan pangkat ke dalam pasukan senior Red Bull pada 2019 selepas penampilan cemerlang bagi musim 2018, namun digugurkan ke pasukan junior pada pertengahan musim 2019.
Bagaimanapun, Gasly yang kembali cemerlang dengan meraih kedudukan kedua pada GP Brazil pada 2019 dan prestasi luar jangkaan sepanjang tahun 2020 telah muncul sebagai pemandu paling menonjol dalam saingan F1.
Gasly berkata, kehadiran pelumba rookie, Tsunoda memberi maksud bahawa dia perlu lebih bertanggungjawab dalam pasukan bahkan sudah bersedia menggalas peranan sebagai pemandu No. 1 Alpha Tauri. – AGENSI