ENAM bulan berkahwin tetapi tidak pernah disentuh suami selain tidak menghormati mertua merupakan antara kes yang pernah berlaku dalam perkahwinan sebagaimana laporan pernah diterima pejabat agama.
Perkara tersebut bukan satu kisah rekaan sebaliknya benar-benar berlaku sehingga memaksa pasangan terbabit memfailkan perceraian.
Namun, itu bukanlah satu-satu dilema dalam perkahwinan sebaliknya pelbagai lagi kisah pelik, tragis dan ragam yang diangkat menerusi drama pendek YouTube Ustaz Tarbiah yang kini bersiaran menerusi saluran JICTV sejak beberapa minggu lalu.
“Memang banyak sebenarnya kisah rumah tangga yang berlaku dalam masyarakat kita membuatkan pegawai khidmat nasihat terpaksa menyiasat terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan lanjut.
“Berdasarkan kisah-kisah ini kita kutip dan kita jadikan sebuah drama episod pendek untuk siaran YouTube. Setidaknya isu-isu seperti ini boleh menjadi pengajaran kepada khalayak dalam menghadapi layar rumah tangga,” kata Jaja Ishak yang bertindak sebagai pencetus idea asal Ustaz Tarbiah.
Menariknya, penghasilan Ustaz Tarbiah turut mendapat sentuhan penulis skrip handalan dunia tanah air, MF Kenchana yang menggarap 13 isu terpilih hasil pengalaman pegawai khidmat nasihat yang mengendalikan kes perceraian di Pahang.
Jika mengikutkan paparan kes, pengawai khidmat nasihat itu mengupah penyiasat sendiri bagi mendapatkan maklumat berkaitan dengan kes yang difailkan sebelum mengambil tindakan lanjut. Namun kebanyakan kes tersebut berjaya diselesaikan tanpa sampai ke tahap perceraian.
Tambahnya, JICTV juga beruntung kerana mendapat Dana Kandungan Digital (DKD Mikro) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi merangsang dan merancakkan kandungan digital dengan pengisian menarik.
Tidak sekadar menggunakan tenaga kerja professional, Ustaz Tarbiah juga menggunakan pelakon seperti Aisar Khaled, Didi Zakir, Hafidz Wolo, Riedzuan Othman dan beberapa bakat Pahang. Penggambaran pula dilakukan 100 peratus di Kuantan.
“Memang kita beruntung dapat menyumbangkan idea dan kisah sebenar yang menarik untuk memberikan kandungan segar dalam YouTube. Kita sediakan kandungan percuma dan berkualiti untuk khalayak dan sudah tentu ini akan memberikan setidak-tidaknya sedikit pengajaran buat semua.
“Kewujudan DKD Mikro juga memberikan semangat buat penyedia kandungan untuk terus berkarya. Setidak-tidaknya mereka bebas memilih isu, pelakon dan pelbagai kelebihan selain menjana pendapatan sendiri,” tambah Jaja Ishak.
Sudah empat episod bersiaran, maklum balas yang diterima cukup baik daripada penonton. Pelbagai kisah yang tidak pernah didedahkan kepada umum dipertontonkan bagi memberikan pengajaran berguna buat semua.
Ustaz Tarbiah menemui penonton setiap Jumaat, pukul 9 malam menerusi saluran YouTube JICTV. – K! ONLINE