SELEPAS tampil dengan sebuah drama fiksyen berjudul Tale of The Nine Tailed beberapa bulan lalu, aktor Lee Dong-wook dilaporkan akan muncul dengan buah tangan terbaharu tidak lama lagi.
Berjudul Single in Seoul, drama berkenaan disifatkan Dong-wook sebagai sebuah naskhah komedi romantik yang akan membuatkan penonton menikmati jalan ceritanya secara maksima.
“Kalau pergi ke panggung wayang, ada banyak naskhah bergenre triller, aksi atau jenayah. Tetapi pandangan saya, cinta adalah perkara yang paling penting dalam hidup,” ujarnya.
Pada masa sama, aktor kacak itu meluahkan keyakinan bahawa drama tersebut akan menjadi naskhah Korea Selatan memuaskan kehendak penonton yang dahagakan genre romantik.