ANAK-ANAK zaman Facebook atau (FB) dan Instagram (IG) menjadi tanda aras betapa Malaysia sudah benar-benar berada pada zaman moden.
Remaja yang membesar sejak 2012 (tahun Instagram boleh digunakan secara menyeluruh) sehingga kini pula sudah menjadi belia harapan bangsa dan srikandi tiang negara.
Tak kurang juga ramai dalam kalangan anak muda menjadi pensohor media sosial atau gammers yang menjana pendapatan lumayan hasil kerjasama bisnes dalam akaun media sosial masing-masing.
Ironinya, keasyikan dan kebebasan kreativiti dalam media sosial telah menghilang banyak hal dunia realiti seperti adab dan budaya dalam kalangan generasi sekarang.
Persoalan nilai dan adab seperti terpinggir dalam arus kehidupan, walhal perkara itu terpahat dalam Rukun Negara. Sayangnya, perkara berbunyi Kesopanan dan Kesusilaan hanya dibaca dalam
perhimpunan rasmi atau tenggelam dalam buku teks, tidak terhadam secara alami.
Melihat budaya masyarakat yang dikatakan semakin miskin jiwa dengan kemaraan media sosial ketika ini, penulis terfikir betapa perkara kelima Rukun Negara Malaysia sedang menuju kepupusan.
Jika orang dewasa yang sudah matang dan berilmu pun boleh menjadi hakim paling kejam menjatuhkan apa sahaja hukuman ikut sedap tangan tanpa otak, mengecam orang dan akhirnya menjadi pembuli siber, apatah lagi anak-anak yang masih mentah hari ini.
Sekebal manakah mereka untuk memperjuangkan prinsip kelima itu agar tidak lagi kedengaran kes-kes dangkal otak seperti kandungan TikTok mentertawakan guru yang tular dalam media sosial.
Lebih memalukan, perbuatan sebegitu dilakukan oleh seorang juruhebah atau penyiar di sebuah radio yang sepatutnya menyampaikan maklumat berfaedah.
Sayangnya, orang sebegitu yang menyiarkan kandungan rendah moral untuk dikongsi bersama pengikutnya dan viral. Terima kasih kepada ramai lagi rakyat Malaysia yang peka terhadap ‘kesopanan dan kesusilaan’ walaupun mungkin ramai yang sekadar ikut-ikutan.
Sekadar contoh, semoga perbuatan tidak bermoral penyampai radio Hitz FM Sarawak, Muhammad Yusuf Shukri yang sudah tampil membuat permohonan maaf dan dikenakan tindakan digantung sementara perkhidmatannya tersebut menjadi iktibar ramai.
Yusuf sudah menerima natijah tetapi bagaimana pula tekanan jiwa yang dihadapi mangsa. Semua itu harus diambil kira.
Bebas melakukan apa sahaja dalam akaun FB, IG, Twitter, TikTok dan YouTube masing-masing tidak bermakna kita juga terlepas atau kebal daripada undang-undang dan norma budaya.
Minta maaf sahaja tak cukup, sudah tiba masanya Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 perlu dikuat kuasa sepenuhnya untuk mencegah aktiviti buli siber yang dilihat semakin meningkat pada masa ini.
Isu sebegini jangan hanya dicanang dan diperdebatkan. Ingatlah, ketika ekonomi negara sedang sakit, masalah sosial rakyat juga semakin parah.