PEMAIN import baharu Selangor FC, Oliver Buff berharap tidak perlu menunggu masa yang lebih lama untuk menyesuaikan diri dengan pasukan menjelang aksi sepak mula saingan Liga Malaysia (Liga M) yang akan bermula pada 5 Mac ini.
Tonggak kelahiran Switzerland itu mengakui tidak merasa bersendirian dan mudah untuk serasi bersama rakan-rakan sepasukan dalam skuad Gergasi Merah tetapi mengakui perlu mengambil masa bagi menyesuaikan diri dengan cuaca di Malaysia.
Perkara yang paling penting untuk saya adalah membiasakan diri dengan cuaca terlebih dahulu. Ini kerana, cuaca di sini sangat berbeza berbanding Switzerland.
“Selain itu, saya juga sedang berusaha keras untuk menyesuaikan diri dengan rakan-rakan sepasukan serta taktikal yang diterapkan oleh ketua jurulatih (Karsten Neitzel).
“Namun, secara jujur kehadiran saya di sini diterima dengan sangat baik oleh mereka dan saya harap kami dapat membentuk keserasian ampuh sebelum aksi Liga Super bermula nanti,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sementara itu, Neitzel mengakui barisan pemainnya tidak akan diberikan cuti sepanjang persiapan pramusim kali ini dalam usaha membolehkan mereka mendapat kecergasan sebelum aksi pembuka tirai menentang Sri Pahang FC pada 6 Mac depan.
“Kami akan melakukan banyak sesi latihan sepanjang dua minggu ini dan pemain tidak akan bercuti bagi membantu mereka mencapai kecergasan dan bersedia untuk mengharungi aksi liga,” katanya.
Skuad Gergasi Merah telah menjalani aksi perlawanan persahabatan pertama menentang PDRM FC di Shah Alam pada Sabtu lepas dan berjaya meraih kemenangan 1-0.