PETALING JAYA – Dek kebijaksanaan dan gaya penyampaian bersahaja, penyanyi Wany Kayrie meraih perhatian netizen ketika mengacarakan program Road To Success SPM 2020 di saluran pendidikan terbaharu, Didik TV.
Menerusi video berdurasi satu minit sembilan saat yang dimuat naik netizen dalam Twitter, rata-rata memuji dan bersetuju apabila Wany dijadikan sebagai hos bagi program tersebut.
“That Wany Kayrie kan. (Itu Wany Kayrie kan). Dia memang pandai pun. Dia bukan sekadar mengacara tetapi pada masa sama turut belajar.
“Alhamdulillah ramai juga selebriti bijak pandai. Lepas tengok video ini, baru aku tahu kenapa semua cakap Wany sesuai jadi pengacara,” tulis netizen.
Wany yang juga pelakon, dikagumi dan menjadi perhatian apabila dapat menjawab pertanyaan seorang guru wanita bagi mata pelajaran Matematik Tambahan yang sedang diajar secara siaran langsung.
Netizen turut menyifatkan Wany atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, 21, mempunyai keyakinan yang sangat tinggi dan tidak teragak-agak menjawab pertanyaan lisan yang diberikan kepadanya.
Sebelum ini, Wany yang popular menerusi lagu Jangan Jangan mencatat keputusan cemerlang apabila memperoleh 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 2017.
Terdahulu, Didik TV dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin 17 Februari lalu yang menyiarkan program-program berteraskan kurikulum dan kokurikulum Kementerian Pendidikan.
Didik TV boleh ditonton setiap hari menerusi saluran NTV7 bermula pukul 7 pagi hingga 12 tengah malam. – K! ONLINE