LAMA namanya menyepi daripada radar dunia hiburan tempatan. Diam-diam, rupa-rupanya pemilik nama sebenar Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz, 36, atau Shira Aziz berkelana ke luar negara menjadi penyanyi kelab malam di Bahrain dan Abu Dhabi sejak beberapa tahun lalu.
Cuma pada penghujung 2020, namanya kembali menjadi bualan selepas muncul sebagai seorang daripada peserta Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7).
Wajahnya tidak banyak berubah, sama seperti sewaktu awal kemunculannya dalam industri hiburan sekitar tahun 2000.
Ketika sesi pengenalan finalis GV7 jugalah, Ashira berkongsi kisahnya dihalau kerana gagal membayar sewa rumah selama enam bulan disebabkan tiada pendapatan.
Pada waktu seluruh negara dilanda pandemik Covid-19, Ashira juga diberhentikan kerja sebagai penyanyi kelab dan akhirnya pulang ke Malaysia.
Jika diikutkan perancangan asal, dia sepatutnya terbang ke China untuk menyanyi di sana, namun hasrat itu terpaksa dilupakan kerana keadaan tidak mengizinkan.
Doa, reda
Berakhirnya program GV7 pada 13 Disember lalu, tidak banyak mengubah perjalanan karier nyanyiannya.
Tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak, situasi Covid-19 yang belum berpenghujung menjadi antara faktor Ashira sukar untuk meneruskan karier nyanyiannya.
“Selepas tamat GV7, semuanya kembali seperti sedia kala. Maksudnya saya duduk di rumah sahaja. Ditambah pula dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak agenda dan perancangan seni terpaksa ditangguhkan dahulu.
“Jika sebelum ini, saya ada juga menjalankan perniagaan menjual laksa semasa Ramadan tahun lalu, tetapi kurang memberangsangkan.
“Sekarang ini untuk teruskan hidup, saya cuma mampu berdoa dan reda. Harap-harap PKP tidak berpanjangan,” kata pelantun lagu Di Ombak Resah itu meluah rasa.
Cuma sejak kebelakangan ini, Ashira sudah bijak mencari ruang menjana pendapatan dengan membuat ulasan berbayar dalam Instagram untuk peniaga kecil yang ingin mempromosikan produk pada harga berpatutan.
Sejak muncul semula dalam arena muzik tempatan, Ashira bersyukur masih ada peminat yang mengingati dirinya.
Ujarnya, setiap hari ada sahaja pengikut dalam Instagram menghantar mesej peribadi (DM) kepadanya dan meminta supaya Ashira tidak lagi ‘hilang’ selepas ini.
“Alhamdulillah selepas muncul dalam GV7, jumlah pengikut Instagram semakin bertambah. Penerimaan peminat juga sangat baik terhadap saya.
“Saya sendiri pun tidak sangka masih ada lagi peminat yang ingin mengambil tahu tentang saya walaupun selepas GV7 berakhir,” katanya.
Menumpang
Masih menumpang teduh di rumah kakaknya di Ampang, Selangor, Ashira bukan tidak mahu mencari kediaman sendiri, namun sekali lagi, situasi PKP menyukarkannya untuk berpindah.
“Buat masa ini saya masih lagi terpisah dengan satu-satunya anak saya, Megat Shazril Haziq Hadi, 15, kerana dia menetap dengan seorang lagi kakak saya di Shah Alam, Selangor.
“Sudah lebih sebulan saya tidak bertemu dengannya. Bukan tidak mahu duduk bersama, tetapi rumah kakak saya di Ampang tidaklah sebesar. Lagi pun anak dia sendiri sudah ramai,” katanya.
Ditanya tentang situasi tersebut yang barangkali mencambahkan rasa kurang enak dalam hatinya, Ashira berkata, bohong jika tidak ada sekelumit rasa dirinya membebankan kakak sendiri. Namun dia menarik nafas lega kerana kakaknya faham dengan situasi yang dihadapinya ketika ini.
“Tipu kalau saya tidak rasa terkesan dengan situasi sekarang. Tetapi saya bersyukur kerana masih ada keluarga yang membantu dan ambil berat tentang diri ini.
“Anak pula semakin dewasa dan faham apa yang sedang saya lalui sekarang,” tuturnya.
Seksi?
Baru-baru ini juga, heboh apabila segelintir peminat mengkritik cara pemakaian Ashira yang dikatakan terlalu seksi menerusi beberapa keping foto yang dikongsi dalam Instagram.
“Kalau tanya diri sendiri, saya tidak rasa diri saya seksi sebab memang dari dulu memang inilah imej saya.
“Saya tidak mahu jadi hipokrit. Kalau dikecam, saya cuma ambil perkara positif sahaja. Paling tidak, saya akan sekat mereka daripada muncul dalam laman sosial saya sekiranya melampau,” katanya.
Bukan rahsia lagi, Ashira kini sedang menjalin hubungan cinta dengan salah seorang anggota kumpulan Indigo iaitu Bad atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah, 46.
Jika tiada aral, mereka merancang bernikah Mac depan.
Jauh di sudut hati wanita itu, dia cuma mengimpikan perkahwinannya nanti akan terus kekal bahagia sehingga ke akhir hayat selain memohon rezeki untuk merakamkan sebuah single baharu pada tahun ini.
“Doakan semoga segalanya berjalan dengan lancar,” ucap Ashira menoktahkan perbualan bersulam penuh harapan.