fbpx

Ahli perniagaan tawar rasuah mengaku tidak bersalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang ahli perniagan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberi rasuah di Mahkamah Sesyen Ipoh di sini hari ini.

IPOH – Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memberi suapan wang tunai berjumlah RM1,700 bagi mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk pekerja warga asing, empat tahun lalu.

Tertuduh, Lai Kim Seong, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim S. Indra Nehru.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memberi wang suapan RM700 kepada seorang pegawai khidmat pelanggan di syarikat MY EG Sdn. Bhd. di Restoran D’Naina, Tesco Extra dekat Ipoh Garden pada pukul 11.40 pagi, 18 Januari 2017.

Suapan itu sebagai dorongan untuk pegawai khidmat pelanggan berkenaan mengeluarkan tiga keping PLKS bagi pekerja-pekerja warga asing yang mempunyai pasport bernombor AR684980, AR681166 dan AT590135 di mana permit tersebut tidak boleh dikeluarkan kerana lelaki itu bukan majikan asal mahupun wakil majikan bagi syarikat Yun Jin Construction Sdn. Bhd.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memberi suapan berjumlah RM1,000 kepada lelaki sama untuk mengeluarkan dua keping PLKS bagi pekerja-pekerja warga asing yang mempunyai pasport bernombor BC0591451 dan BC0872375.

Perbuatan itu dilakukan bapa kepada seorang anak itu pada pukul 3.55 petang di lokasi sama pada 13 Februari 2017.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam, Amrick Singh Sandu.-K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI