MELAKA – Seorang wanita rugi RM9,000 selepas ditipu ‘Sarjan Hairol’ mendakwa ingin membantu membebaskan suaminya dari tahanan lokap atas kesalahan memiliki rokok seludup, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E. Sundra Rajan berkata, kejadian berlaku selepas mangsa dihubungi suspek yang menyamar sebagai anggota polis berpangkat sarjan bernama Hairol.
Katanya, suspek kemudian mendakwa dia merupakan pegawai penyiasat yang mengendalikan kes membabitkan suami mangsa yang ditangkap atas kesalahan memiliki rokok seludup.
“Suspek menawarkan untuk membebaskan suami mangsa yang telah ditangkap dan berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, Negeri Sembilan tanpa perlu dikenakan apa-apa tindakan.
“Bagaimanapun mangsa perlu membuat bayaran berjumlah RM9,000 ke dalam akaun Maybank yang berikan suspek,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Sundra berkata, mangsa kemudian membuat bayaran seperti yang diminta dan menunggu suaminya di IPD Tampin untuk dibebaskan, namun lelaki itu tidak muncul.
“Mangsa telah bertanyakan mengenai perkara tersebut kepada anggota di IPD berkenaan, namun diberitahu dia telah ditipu,” katanya.
Ujarnya, mangsa yang terkejut telah menghubungi Sarjan Hairol terbabit namun talian telah disekat.
Jelasnya, hasil semakan pihak polis bagaimanapun mendapati benar suami mangsa telah ditahan di lokap IPD tersebut atas kesalahan memiliki rokok tanpa mendapat pengesahan daripada pihak Kastam.
“Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Pulau Sebang semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.-K!ONLINE