KUALA LUMPUR – Seramai 401,105 calon sekolah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 seluruh negara mula menduduki peperiksaaan tersebut hari ini.
Hasil tinjauan Kosmo! di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawati mendapati pelajar-pelajar sekolah serta ibu dan bapa mula memenuhi kawasan sekolah tersebut seawal pukul 6.30 pagi.
Ibu dan bapa hanya dibenarkan menghantar anak masing-masing di kawasan pagar sekolah sahaja.
Demi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi seramai 10 orang petugas yang juga guru-guru sekolah terbabit dilihat menjaga di pintu pagar masuk sekolah dalam memastikan kesemua pelajar memakai pelitup muka, mencatit nama dan mengambil bacaan suhu badan.
Kira-kira 200 pelajar akan menduduki SPM di SMK Melawati Taman Melawati hari ini.
Baru-baru ini, Kosmo! melaporkan Kementerian Pendidikan meminda tarikh peperiksaan SPM, Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kepada 22 Februari depan.
Peperiksaan SPM, SVM dan STAM diadakan pada November setiap tahun, namun bagi 2020, peperiksaan terbabit terpaksa ditangguh kepada Januari 2021 sebelum dianjak sekali lagi kepada 22 Februari 2021 berikutan penularan pandemik Covid-19 yang memaksa penutupan sekolah. – K! ONLINE