VALLADOLID, Sepanyol – Juara bertahan, Real Madrid ketinggalan tiga mata sahaja lagi untuk mengejar pendahulu La Liga yang juga musuh setempat, Atletico Madrid selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Real Valladolid di Estadio Jose Zorrilla awal pagi semalam.
Ia selepas Atletico gagal mengutip mata penuh dalam dua perlawanan berturut-turut menentang Levante apabila seri 1-1 pada 18 Februari lalu sebelum tewas 0-2 kepada lawan sama di Stadium Wanda Metropolitano kelmarin.
Pemain tengah Real, Casemiro yang muncul wira selepas meledak gol tunggal perlawanan ke atas Valladolid, menyifatkan situasi itu secara tidak langsung kembali membuka peluang buat mereka memintas Atletico dalam baki saingan musim ini.
“Kami percaya boleh memenangi liga musim ini bukan disebabkan kekalahan Atletico tetapi kerana kemampuan pasukan kami sendiri.
“Anda perlu ingat masih ada 42 mata yang boleh diraih dalam baki saingan musim ini. Jadi, saya amat percaya kami boleh mengubah situasi dalam carta kedudukan liga selepas ini,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Atletico, Diego Simeone enggan memberikan alasan terhadap prestasi membimbangkan skuad bimbingannya ketika ini.
Apatah lagi selepas ini Atletico dijadualkan bertemu jaguh England, Chelsea untuk aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara di laman sendiri pada Rabu ini.
“Saya yang harus bertanggungjawab terhadap situasi semasa, bukannya para pemain. Mereka telah mencuba sedaya upaya tetapi nasib ternyata tidak menyebelahi kami dalam dua perlawanan ini,” jelasnya.
Kekalahan Atletico bukan sahaja membuka peluang buat Real yang kini menduduki tangga kedua tetapi pasukan tempat ketiga iaitu Barcelona juga dilihat mampu mengejar berdasarkan kelebihan dua perlawanan dalam tangan. – AGENSI