MELAKA – Pegawai-pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) terdiri daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri ini mengawal ketat kemasukan calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di dewan peperiksaan bagi menduduki kertas pertama subjek Bahasa Melayu pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, seramai 40 PPS dari daerahnya turut berada di 39 buah sekolah seawal pukul 6.30 pagi tadi.
Katanya, pemantauan prosedur operasi standard (SOP) itu meliputi borang pengisytiharan bagi kesihatan dan perjalanan setiap pelajar yang perlu dihantar di kaunter pemeriksaan sebelum dibenarkan masuk ke dalam dewan peperiksaan.
“Prosedur ini merupakan usaha sama antara pihak polis bersama Jabatan Pendidikan Negeri dan sekolah dalam memastikan setiap calon bebas daripada sebarang risiko dan simptom Covid-19.
“Semua calon dikehendaki mengisi borang pengisyiharan kesihatan dan perjalanan mereka untuk diteliti oleh guru dan PPS sebelum dibenarkan masuk ke dalam dewan sekolah,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau proses pematuhan SOP oleh 357 calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Munshi Abdullah, Batu Berendam di sini, tadi.
Mengulas lanjut, Afzanizar berkata, semua guru-guru yang terlibat dalam pelaksanaan peperiksaan SPM juga diberikan keutamaan di jalan raya termasuk dengan menyediakan laluan khas buat golongan itu di setiap Sekatan Jalan Raya (SJR).
“Kita telah membuka laluan ekspres bagi guru-guru yang terlibat bagi memastikan perjalanan mereka ke sekolah untuk persiapan peperiksaan berjalan lancar.
“Di daerah ini terdapat lima pusat penyimpanan kertas soalan sulit SPM yang perlu diambil oleh guru-guru untuk diedarkan di dewan setiap sekolah,”katanya.
Terdahulu, seramai 13,464 calon SPM daripada 74 buah sekolah di Melaka akan menduduki peperiksaan pada hari ini dengan melibatkan seramai 1,312 petugas.-K!ONLINE