GUA MUSANG – Kebanyakan pelajar perempuan Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman di daerah ini tidak dapat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini selepas mereka mendirikan rumah tangga.
Menurut sumber yang merupakan seorang penghulu kampung Orang Asli, remaja perempuan yang sudah berkahwin itu mengambil keputusan itu selepas memikirkan bahawa mereka ingin fokus kepada keluarga selain ada yang kini sedang mengandung.
Katanya, melihat kepada situasi itu, ibu bapa sendiri tidak dapat menghalang permintaan anak untuk berumah tangga dengan pilihan hati mereka.
“Kebiasaannya, Orang Asli di sini akan mengambil keputusan untuk berkahwin lebih awal. Di kampung saya, lima orang remaja perempuan berusia 16 hingga 18 tahun melangsungkan perkahwinan pada tahun lalu.
“Keadaan itu menyebabkan mereka tidak sempat menghabiskan persekolahan sehingga tidak menduduki peperiksaan SPM hari ini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Gua Musang, Muhamad Yusrizal Ghani berkata, berdasarkan data yang diperoleh Jakoa, seramai 148 orang pelajar Orang Asli di daerah ini menduduki SPM di lapan buah sekolah menengah hari ini.
“Antara sekolah menengah terlibat yang menempatkan pelajar Orang Asli ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indra Petra, SMK Tengku Indra Petra 2, SMK Sungai Asap, SMK Tengku Bendahara, SMK Sri Wangi, SMK Paloh, SMK Bandar Chiku dan SMK Chiku 2.
“Kebanyakan anak Orang Asli yang mengambil peperiksaan SPM akan tinggal di asrama sekolah,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim turut hadir meninjau pelajar yang menduduki peperiksaan SPM di SMK Tengku Indra Petra di sini hari ini.
Katanya, proses menduduki peperiksaan SPM di sekolah berjalan lancar apabila pelajar datang awal pagi dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.-K!ONLINE