fbpx

Lelaki maut dihempap motosikal dalam tali air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang awam mengangkat mangsa untuk dibawa naik ke tebing sebelum dia disahkan meninggal dunia di lokasi berkenaan, hari ini.

PARIT BUNTAR – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terjatuh ke dalam tali air sebelum dihempap motosikal berkenaan di Jalan Kampung Parit Haji Tahir hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mohammad Irwan Syafiq Mazlan, 24, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego itu dalam perjalanan dari Kampung Parit Haji Tahir menuju ke pekan Batu Lima, Simpang Lima di sini.

“Mangsa yang menunggang seorang diri dipercayai gagal mengawal motosikalnya ketika melalui jalan berkenaan lalu terjatuh ke dalam tali air yang berada di sebelah kanan laluan itu.

“Siasatan juga mendapati mangsa disyaki jatuh tersembam ke dalam lumpur tali air berkenaan sebelum dihempap motosikal,” katanya di sini hari ini.

Tambah Mazuki, mayat mangsa telah dibawa naik ke tebing tali air oleh orang awam sebelum anggota polis tiba di lokasi dan kemalangan dipercayai tidak melibatkan kenderaan lain.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar dan proses bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan mati lemas akibat dihempap motosikal,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI