BATU PAHAT – Sebuah premis urutan yang terletak di pusat bandar daerah ini dikesan menjalankan aktiviti persundalan dengan menawarkan wanita kepada pelanggan tetap sahaja.
Malah penganjur berusia 30 tahun yang berperanan sebagai ibu ayam bertindak licik dengan menyediakan pintu khas untuk keluar masuk ke premis berkenaan.
Bagaimanapun kegiatan mereka berjaya dihidu sepasukan polis sebelum serbuan dilakukan pada pukul 2.50 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah, dalam operasi itu seramai 13 individu berusia 20 hingga 52 tahun berjaya diberkas termasuk penganjur aktiviti pelacuran berkenaan.
“Hasil pemeriksaan polis mendapati seramai tujuh wanita termasuk warga Vietnam dan China serta tiga lelaki China disyaki menjalankan aktiviti pelacuran.
“Dua lelaki tempatan yang dipercayai pelanggan dan seorang perempuan tempatan yang dipercayai penganjur aktiviti pelacuran turut ditahan,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ismail berkata, sejumlah kondom, cecair pelincir, minyak urut dan wang tunai yang dipercayai hasil aktiviti pelacuran turut dirampas.
Katanya, siasatan mendapati aktiviti pelacuran dijalankan secara dalam talian iaitu pelanggan perlu menempah wanita sebelum berkunjung ke premis berkenaan.
Jelasnya, lelaki hidung belang pula terdiri daripada pelanggan tetap dan sudah dikenali oleh penganjur.
“Pihak polis terpaksa memecah masuk ke premis berkenaan kerana suspek tidak memberi kerjasama yang mana pintunya berkunci dari dalam.
“Kesemua tangkapan direman selama tujuh hari mulai hari ini hingga 28 Febuari depan untuk siasatan lanjut,”katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 372B dan Seksyen 373 Kanun Keseksaan kerana menjalankan aktiviti pelacuran dan kesalahan di bawah Akta Imigresen.
“Tiga kompaun sebanyak RM1,000 seorang turut dikenakan terhadap tiga suspek kerana telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP yang telah ditetapkan,” katanya.-K! ONLINE