FRANKFURT – Gergasi Jerman, Bayern Munich mensia-siakan peluang untuk melebarkan penguasaan sebagai pendahulu Bundesliga buat kali kedua berturut-turut apabila tewas mengejut 1-2 kepada Eintracht Frankfurt di Commerzbank Arena awal pagi semalam.
Ia menyaksikan Bayern masih gagal mencatat kemenangan sejak bergelar juara Piala Kelab Dunia baru-baru ini selepas terdahulu sekadar seri 3-3 dengan Arminia Bielefeld dalam saingan Bundesliga di Allianz Arena pada 16 Februari lalu.
Situasi itu membolehkan pencabar terdekat di tempat kedua, RB Leipzig merapatkan jurang kepada dua mata jika menang ke atas Hertha Berlin.
“Kami tidak mempelajari pengajaran daripada aksi menentang Bielefeld sebelum ini. Sepatutnya kami perlu menjadi lebih agresif dari awal permainan.
“Apa boleh buat kerana ia sudah berlaku. Sekarang kami perlu lupakan kekalahan ini dan memberi tumpuan sepenuhnya untuk aksi yang lebih penting,” kata kapten yang juga penjaga gol Bayern, Manuel Neuer.
Skuad bimbingan Hansi Flick itu membenarkan Frankfurt menjaringkan dua gol dalam separuh masa pertama menerusi Daichi Kamada dan Amin Younes masing-masing pada minit ke-12 serta 31.
Bagaimanapun, Bayern terpaksa akur pulang dengan tangan kosong apabila sekadar berupaya meledak satu gol dalam babak kedua menerusi Robert Lewandowski pada minit ke-53.
Sebagai rekod, juara Eropah itu selepas ini dijadualkan bertemu wakil Itali, Lazio untuk aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara di Stadio Olimpico pada Rabu ini. – AGENSI