PETALING JAYA – Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah membuat bayaran balik pinjaman lebih RM200 juta kepada Kementerian Kewangan.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, ia sebahagian bayaran pinjaman RM857.97 juta yang diperoleh AIM sejak tahun 1996 daripada kerajaan.
“Bayaran balik itu dibuat secara berperingkat bermula tahun 2011 (RM20 juta), 2012 (RM45.37 juta), 2013 (RM10 juta), 2015 (RM2 juta), 2016 (RM7 juta), 2017 (RM8 juta), 2019 (RM14.5 juta) dan pembayaran terkini pada Februari 2021 (RM100 juta).
“Pinjaman daripada kerajaan itu adalah sebahagian usaha AIM memberi pinjaman mikro kepada golongan B40 khususnya golongan wanita untuk dijadikan sebagai modal awal mereka memulakan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Lajim berkata, usaha AIM telah membuahkan hasil apabila sehingga 2021 sebanyak 939,754 peminjam AIM yang dikenali sebagai Sahabat telah mendapat manfaat.
Menurut beliau, ia menjadikan keseluruhan jumlah jangkauan rakyat Malaysia yang menerima kebaikan daripada usaha AIM membasmi kemiskinan sebanyak 3,759,016.
Jelas beliau, AIM secara keseluruhan telah menerima pinjaman daripada Kerajaan Malaysia terdiri daripada 8 peringkat pinjaman bermula tahun 1996 sehingga tahun 2011.
Kata beliau, pinjaman pertama dibuat pada 10 Oktober 1996 berjumlah RM101,468,410 bagi membiayai Skim Pembiayaan Ikhtiar.
Tambah beliau, pada 21 Disember 1998, AIM menerima pinjaman kali kedua sebanyak RM100 juta bagi membiayai skim yang sama.
“Ia kemudian diikuti pada tahun 2006 hingga 2008 dengan jumlah RM371.5 juta (RM171.5 juta diterima pada tahun 2006), RM100 juta masing-masing pada tahun 2007 dan 2008.
“Pada tahun 2010 pula, AIM menerima pinjaman sebanyak RM165 juta bagi membiayai program SPI (RM123 juta) dan Program Mikrobandar (RM42 juta),” katanya.
Kata beliau, kali terakhir AIM menerima pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan pada 2011 iaitu pada 21 Jun dan 27 Disember 2011 masing-masing RM60 juta bagi melaksanakan Program Pembiayaan Ikhtiar. – K! ONLINE