IPOH – Polis Perak menggerakkan lima pegawai dan 52 anggota bagi membantu kelancaran perjalanan membawa dos vaksin fasa pertama dari Bayan Lepas, Pulang Pinang ke Perak pada Rabu ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, 20 unit kereta peronda polis (MPV) dan 12 buah motosikal trafik berkuasa tinggi akan mengiringi trak DHL Express yang membawa vaksin Covid-19 ke empat tempat penyimpanan di negeri ini.
“Kenderaan membawa vaksin itu akan diiringi terus ke tempat penyimpanan iaitu di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, Hospital Teluk Intan, Hospital Taiping dan Hospital Angkatan Tentera (HAT) di Lumut.
“Pegawai dan anggota polis daripada empat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) iaitu Ipoh, Taiping, Manjung dan Hilir Perak terbabit dalam mengiringi vaksin berkenaan bagi memastikan ia tiba di lokasi ditetapkan dengan selamat,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, beliau melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson di sini bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sempena peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang bermula hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya akan memberi sokongan penuh kepada Kementerian Kesihatan dalam memastikan vaksin tersebut selamat sampai ke negeri ini.
Katanya, lebih 33,000 petugas barisan hadapan di negeri ini akan menerima suntikan tersebut dan daripada jumlah itu, 10,924 orang adalah warga polis Kontinjen Perak melibatkan pelbagai elemen PDRM. K! ONLINE