LONDON – Seorang saintis Amerika Syarikat mendakwa virus Nipah yang berasal dari Malaysia adalah 75 kali ganda lebih berbahaya berbanding Covid-19, lapor akhbar Daily Star.
Ketua Jabatan Biokimia Molekular dan Selular Universiti Kentucky, Dr. Rebecca Dutch berkata, virus yang dikesan pada tahun 1999 itu sangat berisiko menjadi pandemik baharu pada masa hadapan.
“Beberapa perkara tentang virus Nipah amat membimbangkan. Kadar kematian akibat virus ini adalah antara 45 hingga 75 peratus lebih tinggi berbanding koronavirus.
“Virus ini tersebar menerusi makanan serta sentuhan antara manusia atau haiwan,” katanya sebagaimana dilaporkan akhbar The Sun.
Mereka yang dijangkiti virus Nipah akan mengalami radang otak, manakala simptom wabak itu termasuk serangan sawan dan muntah.
Dutch berkata, walaupun tiada kes virus Nipah dilaporkan setakat ini, penyakit itu masih membimbangkan para saintis dan perlu diberi perhatian.
Virus Nipah juga dinamakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai salah satu daripada 16 virus yang diramal meletus selepas Covid-19. – Agensi