PETALING JAYA – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan penerbangan ‘logistic communication’ dengan membuat penghantaran 37 kotak makanan dan keperluan asas ke Sabah.
TUDM dalam satu kenyataan berkata, penerbangan melibatkan sebuah pesawat angkut jenis Airbus A400M berlepas dari Pangkalan Udara Subang ke Tawau kira-kira 7 pagi dengan membawa barang-barang sumbangan kebajikan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Yayasan Ikhlas.
Katanya, barangan sumbangan kebajikan tersebut akan diagihkan kepada golongan yang memerlukan di sekitar Sabah yang terkesan akibat kemiskinan dan pandemik Covid-19.
“Barangan sumbangan kebajikan makanan keperluan asas yang dibawa menerusi penerbangan pagi ini adalah beras, bihun, minyak masak, tepung gandum, gula, biskut dan makanan dalam tin dengan anggaran berat keseluruhan 665 kilogram.
“Urusan memuat naik barangan ke badan pesawat bermula seawal pukul 5 pagi oleh anggota TUDM dari Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang serta loadmaster pesawat A400M,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut TUDM, penerbangan itu dikendalikan oleh Mejar Khairul Ikhmal TUDM selaku juruterbang dan dibantu oleh Kapten Muhd Izwan selaku pembantu juruterbang bersama dua anak kapal.
Katanya, TUDM telah melaksanakan bantuan penghantaran yang sama pada 11 Feb lalu dalam usaha membantu penduduk di Sabah yang terjejas berikutan pandemik Covid-19.
“Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua petugas termasuk anak kapal No. 22 Skuadron dan anggota TUDM Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang yang sentiasa bersiapsiaga melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan dalam usaha memastikan semua proses berjalan lancar.
“Semoga kerjasama bersepadu semua pihak dalam menyalurkan bantuan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan negara sentiasa diutamakan,”ujarnya.-K! ONLINE.