HULU TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima aduan luar biasa berhubung pembelian online pada bulan lalu iaitu sebanyak 2,096 kes.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, antara aduan tertinggi melibatkan pembelian online diterima ialah transaksi mengelirukan (794 kes), perkhidmatan mengelirukan (384 kes), harga barang (376 kes) dan iklan mengelirukan (78 kes).
Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, kebanyakan aduan berhubung pembelian online itu diterima daripada pengguna dari Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.
“Kenaikan aduan berkenaan mungkin disebabkan keghairah pengguna melakukan pembelian online kerana pergerakan keluar rumah agak terbatas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) 2.0.
“Mungkin berlaku kesilapan atau kekurangan ekoran transaksi online yang terlalu rancak,” katanya selepas menyampaikan bantuan khas kepada penduduk terjejas Covid-19 di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Hulu Terengganu di sini hari ini.
Rosol berkata, sebanyak 1,635 aduan melibatkan pembelian online berkenaan telah diselesaikan manakala baki 461 aduan pula masih dalam siasatan.
Dalam perkembangan sama, beliau menasihatkan pengguna agar sentiasa berwaspada apabila melakukan pembelian online terutama secara langsung menerusi media sosial seperti WhatsApp, Instagram dan Facebook. – K! ONLINE.