fbpx

Kes representasi pemulihan kerja meningkat tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saravanan

PUTRAJAYA – Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) menerima peningkatan jumlah pengendalian kes representasi pemulihan kerja sepanjang tahun lalu sebanyak 9,142 kes berbanding 7,179 pada tahun sebelumnya.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, daripada jumlah itu, JPPM berjaya menyelesaikan sebanyak 6,275 kes dengan 3,694 daripadanya diselesaikan oleh JPPM melalui kaedah rundingan damai.

“Daripada jumlah itu, sejumlah 2,150 kes berjaya diselesaikan secara pembayaran ex-gratia yang
melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM50.87 juta.

“Pembayaran ex-gratia tertinggi yang diterima oleh perayu adalah sebanyak RM 1.41 juta selain seramai 196 orang telah berjaya dipulihkan semula ke jawatan asal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Saravanan berkata, mengikut rekod JPPM, jumlah pembayaran secara ex-gratia pada tahun 2018 adalah sebanyak RM 22.37 juta manakala RM47.29 juta dibuat pada tahun 2019.

Beliau berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan JPPM bagi mempercepatkan pengendalian kes dan meningkatkan penyelesaian secara rundingan damai adalah dengan penglibatan pegawai-pegawai di ibu pejabat yang turut mengendalikan mesyuarat rundingan damai di negeri-negeri dengan kes tinggi seperti Selangor dan Kuala Lumpur.

Katanya, selain itu, rundingan damai lanjutan turut dijalankan di ibu pejabat untuk meningkatkan penyelesaian kes secara rundingan damai.

“Untuk memudahkan pekerja memfailkan kes semasa tempoh PKP, JPPM juga telah mengambil inisiatif dengan menerima pemfailan kes secara dalam talian.

“Mesyuarat rundingan damai juga dilaksanakan secara dalam talian dengan persetujuan kedua-dua belah pihak iaitu majikan dan pekerja,” katanya.

Sementara itu, Saravanan berkata, JPPM juga akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan penyelesaian kes melalui kaedah rundingan damai.

“Malah, majikan, pekerja serta kesatuan sekerja adalah digalakkan untuk menyelesaikan kes secara rundingan damai kerana ianya dapat menjimatkan masa dan kos di samping memelihara perhubungan perusahaan yang kondusif serta harmoni,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI