PETALING JAYA – Perasaan gementar bercampur teruja dirasai seramai 401,105 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh negara apabila mereka akan menduduki kertas pertama bagi peperiksaan itu yang bermula esok.
SPM 2020 dijadual berlangsung selama 32 hari bermula 22 Februari hingga 25 Mac depan selepas lebih tiga bulan ditangguhkan ekoran penularan pandemik Covid-19 di seluruh negara.
Lebih menyulitkan apabila pandemik Covid-19 turut membataskan sesi persekolahan awam sehingga menyebabkan pelbagai program persediaaan SPM yang diatur pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terpaksa dibatalkan.
Bagaimanapun, situasi genting itu sedikitpun tidak mengganggu fokus calon-calon SPM, sebaliknya mereka melahirkan rasa teruja untuk menduduki peperiksaan itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Calon SPM dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Bandaraya, Bangsar, Muhammad Faris Haziq Mohd. Fardzleisham, 18, mengakui SPM kali ini sangat berbeza dan cukup mencabar berbanding sebelumnya.
Ujarnya, sesi persekolahan yang terganggu beberapa kali selain kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang sedikit terbatas menyebabkan dia dan rakan-rakan sukar untuk menguasai setiap mata pelajaran yang diajar.
“Semuanya menjadi sukar, bermula dari sesi PdPR sehinggalah keterbatasan untuk mengulang kaji pelajaran bersama rakan-rakan sekelas. Kami kena lebih berusaha jika mahu memahami sesuatu subjek yang diajar.
“Apapun, inilah cabaran yang kami perlu hadapi dan sejujurnya, saya sudah tidak sabar untuk mengambil peperiksaan ini. Sudah lama kami tanggung tekanan dan berharap tiada lagi penangguhan selepas ini,” katanya.
Rakannya, Muhammad Adam Haziq Azman, 18, pula berkata, dua minggu terakhir sebelum ini merupakan tempoh paling kritikal bagi semua calon SPM untuk menguasai semua mata pelajaran sebelum peperiksaan sebenar pada 22 Februari ini.
“Saya mengikuti banyak kelas tambahan, melakukan latihan sampingan, mengulang kaji pelajaran dan merujuk sumber-sumber untuk maklumat tambahan.
“Saya juga ada membuat ulang kaji bersama rakan-rakan menerusi Google Meet. Gembira dapat berjumpa mereka dan mengulang kaji bersama meskipun secara alam maya,” ujarnya.
Bagi Arif Husni Noor Azmy dari SMK Anderson Ipoh, dia dan rakan-rakannya sudah cukup bersedia untuk melangkah ke dewan peperiksaan sekali gus menamatkan penantian untuk melalui fasa yang bakal menentukan masa depannya selepas ini.
Walaupun mengakui tekanan dan perasaan gementar untuk menghadapi peperiksaan itu, namun dia tetap tekad untuk melakukan yang terbaik demi mengejar cita-citanya menjadi arkitek.
“Memang sesekali ada rasa gementar kerana SPM yang sepatutnya diduduki tahun lalu tertangguh beberapa kali.
“Bagaimanapun, sesi persekolahan yang bermula bulan lalu telah membantu mengembalikan keyakinan selain mendapat bimbingan guru secara bersemuka untuk melakukan persiapan pecutan akhir,” katanya.
Dalam pada itu, calon SPM dari Sekolah Menengah Seri Balik Pulau, Pulau Pinang, Nurmasyitah Omar berkata, dia tetap mahukan keputusan yang terbaik biarpun mengalami pelbagai kekangan menerusi pembelajaran PdPR sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada Mac tahun lalu.
“Selain berdepan masalah capaian internet yang kerap kali terganggu, saya juga terpaksa berhadapan dengan kerenah enam adik beradik kecil lain.
“Tidak semua mata pelajaran saya ikuti dalam PdPR dan mengharapkan sesi bersemuka dengan guru sahaja baru-baru ini. Saya perlu yakinkan diri dan melakukan yang terbaik biarpun tahu cabaran peperiksaan SPM tahun ini sangat kuat,” katanya.